Memaparkan catatan dengan label BAYI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BAYI. Papar semua catatan

4/12/18

TAHUKAH ANDA BAYI PALING MUDAH DIJANGKITI DEMAM VIRUS


Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.

7/02/18

RISIKO BAYI BANTUT


Sikap sambil lewa ibu bapa terhadap ujian saringan berjadual dilakukan di hospital boleh mengundang kelewatan mengesan penyakit serius pada bayi seperti hipotiroidisme kongenital.

Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu myhealth.gov.my, kajian mengenai kes hipotiroidisme di Malaysia menganggarkan 120 kelahiran bayi mempunyai penyakit itu setiap tahun.

Bayi berpenyakit ini berisiko mengalami tumbesaran terbantut, lewat perkembangan dan terencat akal kerana ketiadaan serta kekurangan hormon tiroksin dihasilkan kelenjar tiroid.

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong menerusi laman Facebook peribadinya mengingatkan pentingnya ibu bapa melakukan saringan darah tali pusat bayi. Ia dikenali dengan prosedur ‘cord TSH’ (hormon perangsang tiroid) dalam kalangan pengamal perubatan.

“Inilah gunanya program saringan hipotiroidisme kongenital yang dimulakan sejak 1998 di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Darah tali pusat bayi diuji sebaik dilahirkan untuk mengesan masalah itu lebih awal.

“Sekiranya keputusan darah ini tidak normal, ibu bapa pesakit akan dihubungi untuk makluman agar mereka diberi rawatan secepat mungkin,” katanya.

Turut berkongsi kaedah rawatan diberikan kepada bayi dikesan awal menghadapi masalah terbabit menerusi pemberian pil tiroksin boleh menggantikan masalah hormon tiroid yang kurang.

Tanda bayi alami masalah hipotiroidisme kongenital

• Jaundis neonatal berpanjangan

• Suara tangisan yang kasar atau garau

• Sembelit

• Perut yang buncit

• Hernia di pusat

• Kulit kering, kasar dan pucat

• Lidah besar (makroglosia)

• Raut muka kasar

• Tidak aktif dan banyak tidur

• Terencat akal

• Tumbesaran terbantut

12/05/17

PENYAKIT KUNING BOLEH ANCAM NYAWA BAYI


Dilihat dari luaran dia seperti kanak-kanak normal lain. Bermain, bercakap dan ketawa seperti tiada sebarang penyakit tetapi hakikatnya, Batrisya Sofea Mudzaffar Shah, 8, disahkan menghidap penyakit Biliari Atresia (BA) sebaik dilahirkan.

Menurut bapanya yang juga seorang guru, Mudzaffar Shah Ali, 33, pada awalnya, dia hanya menyangka anaknya menghidap demam kuning (jaundis) seperti kebanyakan bayi baru lahir.

Namun, Mudzaffar menyedari sesuatu berlaku kepada puterinya apabila penyakit kuningnya berpanjangan sehingga tiga minggu dan najis anaknya berwarna kuning pucat, berbeza dengan najis bayi lain.

Tanpa membuang masa, Mudzaffar membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keadaan anak tunggalnya.

Selepas diperiksa, Batrisya yang ketika itu berusia 52 hari didapati menghidap BA dan perlu segera menjalani Kasai iaitu pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak serta penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Ternyata keputusan Mudzaffar yang juga Presiden Persatuan Biliari Atrisia Malaysia (BAMA) membenarkan anaknya menjalani pembedahan dengan cepat adalah tindakan tepat kerana anaknya kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun perlu menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar bagi memastikan dia kekal sihat.

“Alhamdulillah, syukur kini Batrisya boleh bermain seperti kanak-kanak seusianya selepas menjalani pembedahan Kasai. Mujur saya mengesan lebih awal perubahan najis anak yang berwarna seakan pucat.

“Ramai yang salah faham penyakit BA dengan demam kuning dan masih ada yang kurang peka terhadapnya. Nasihat saya, segera berjumpa doktor bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.

Pakar Pediatrik dan Genetik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Choy Yew Sing menjelaskan, BA adalah sejenis penyakit terdapat ketidakwujudan sistem hempedu luar, mengakibatkan demam kuning berpanjangan.

“Demam kuning adalah perkara biasa dalam dua minggu pertama selepas kelahiran dan ini dikenali sebagai jaundis fisiologi, tetapi jika ia berterusan lebih dua minggu, satu masalah yang lebih serius mungkin berlaku dan perlu segera melakukan diagnosis serta rawatan secepat mungkin.

“Bagi sesetengah kanak-kanak, BA mungkin berlaku kerana gen penting untuk pembentukan saluran hempedu bermasalah iaitu tidak membentuk dengan betul semasa di dalam kandungan.

“Namun, ada kajian menunjukkan kira-kira 75 peratus penghidap BA menghidapinya selepas kelahiran oleh beberapa sebab iaitu jangkitan virus seperti rotavirus dan reovirus, toksin pada alam sekitar dan penyakit autoimun,” katanya.

Menurut Dr. Choy, BA turut menyebabkan tiub hempedu terjejas dan membengkak lalu tersumbat menyebabkan hempedu tidak boleh keluar secara normal dan kemudian mengalir keluar ke salur darah yang menyebabkan badan jadi kuning. Ia juga menyebabkan najis menjadi pucat atau kelabu kerana ia tidak dirembeskan melalui usus.

“Simptom najis berwarna pucat tanda penting kepada BA, selain penyakit kuning berpanjangan kerana najis bayi biasanya berwarna kuning emas atau mustard. Oleh itu, ibu bapa perlu dididik untuk memantau sebarang kelainan dan segera bertemu dengan pakar,” katanya.

Sehingga kini, punca BA masih belum diketahui tetapi penyakit ini wujud sejak kelahiran lagi. Banyak teori dikemukakan dan besar kemungkinan sistem hempedu luar diserang oleh antibodi badan sendiri (auto-antibodies).

Dr. Choy turut menjelaskan, BA boleh dirawat melalui pembedahan dikenali prosedur Kasai atau pemindahan hati. Pembedahan Kasai, dinamakan selepas pakar bedah yang mencipta pembedahan itu di Jepun, biasanya merupakan rawatan pertama untuk BA.

“Ketika prosedur Kasai, pakar bedah membuang salur hempedu bayi yang rosak dan membawa satu gelung usus untuk menggantikan mereka. Hasilnya, hempedu mengalir terus ke usus kecil.

“Pembedahan ini tidak menyembuhkan BA tetapi ia boleh memulihkan aliran hempedu dan membetulkan banyak masalah yang disebabkan BA. Tanpa pembedahan, bayi dengan BA mungkin tidak dapat hidup melepasi umur dua tahun,” katanya.

Prosedur ini adalah paling berkesan pada bayi berumur kurang dari tiga bulan kerana mereka biasanya masih belum mengalami kerosakan hati kekal. Sesetengah bayi dengan BA yang menjalani prosedur Kasai berjaya mendapatkan semula kesihatan yang baik dan tidak lagi mempunyai penyakit kuning atau masalah hati utama.

“Pembedahan Kasai perlu dilakukan secepat mungkin kerana jika lambat, hati akan rosak. Kajian dijalan menunjukkan mereka lambat membuat pembedahan selepas 90 hari perlu melakukan transplan hati.

“Transplan hati bukan perkara yang mudah

kerana perlu mencari penderma yang dalam keadaan sihat dan penderma juga berisiko sepanjang pembedahan dijalankan, selain ia merupakan pembedahan yang berkos tinggi.

“Walaupun pembedahan Kasai tidak sepenuhnya berkesan merawat BA, ia dapat membeli masa untuk menangguhkan transplan hati dengan menunggu sehingga badan pesakit cukup kuat atau sehingga berat mereka mencukupi,” katanya.

15/02/17

ADA ENAM JENIS PENYAKIT MEROYAN


Negara digemparkan dengan berita bayi berusia tiga bulan maut akibat dikelar ibunya sendiri baru-baru ini. Peristiwa tragis itu bukan pertama berlaku malah sebelum ini kita pernah disajikan dengan berita bayi dicampak dari pangsapuri akibat masalah sama.

Jika difikir secara logik akal, seorang ibu yang waras tidak akan tergamak berbuat demikian terhadap zuriat sendiri. Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu bertindak di luar kawalan. Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit itu akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata meroyan adalah masalah mental selepas bersalin atau acut psychosis.

“Meroyan dikenali dalam kalangan ahli perubatan sebagai postpartum depression (PPD) satu bentuk kemurungan klinikal (clinical depression) yang menjejaskan wanita, dan kadangkala lelaki selepas kelahiran anak.


“Terdapat beberapa jenis meroyan yang biasa menyerang wanita selepas bersalin antaranya postpartum blues, pospartum depression dan yang paling merisaukan ialah pospartum psikosis,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

Menurutnya, postpartum adalah masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.

“Postpartum depression pula ialah ibu yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kemurungan, hilang selera makan, cepat letih, tidak yakin dan rasa bersalah serta mudah marah.

“Pospartum psikosis pula adalah keadaan yang paling merisaukan di mana ibu akan mendengar suara halus yang menyuruh melakukan perkara di luar batasan seperti yang terjadi baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu, sokongan dan perhatian suami dan keluarga memainkan peranan terpenting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Misalnya jika isteri mengadu atau meluahkan perkara yang agak tidak masuk akal seperti rasa mahu membunuh bayi, ambilnya sebagai perkara yang serius dan jangan menganggap ia sekadar gurauan. Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.

“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.

Dr Nurhazinat berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.

INFO:

Jenis meroyan mengikut kepercayaan masyarakat Melayu

1. Meroyan Api

- Ibu akan menjadi bengis, baran, cepat marah hingga tahap menjerit dan lupa diri

- Perubahan mood yang ketara

- Perubahan sikap lebih ketara ketika datang bulan

2.Meroyan Ketung

- Ibu menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa (sensitif) dan ada kalanya kelihatan seperti bodoh

- Kebanyakan berlaku kepada ibu yang kehilangan anak

- Ada kes sehingga membunuh diri

3. Meroyan Urat

- Ibu mengalami ketegangan urat sarat sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot

- Selalu berlaku ketika cuaca sejuk, atau jika ibu tersilap makan benda yang bersifat sejuk

- Berlaku kepada ibu yang melakukan kerja berat atau banyak menggunakan urat besar sejurus lepas bersalin

4. Meroyan Lendir

- Ibu sentiasa pucat, lesu, mata pudar, keguguran rambut dan badan menjadi susut

- Keguguran rambut yang melampau

- Mengalami masalah dingin seks terhadap pasangan

- Penyebab utama apabila darah kotor dan angin jahat di dalam tubuh tidak dikeluarkan sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang

5. Meroyan Tinggal

- Ibu tiba-tiba asyik berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang melarikan diri dari rumah

- Ibu mungkin tidak mahu bayinya sendiri

- Ada tahap sehingga menjadi ganas

6. Meroyan Bulu

- Ibu sentiasa seram sejuk selepas bersalin

- Jika berlarutan, ibu akan mula menghidap rheumatoid artiritis atau keradangan sendi

- Ini berlaku apabila ibu banyak bermain air dan bersejuk ketika berpantang

7. Meroyan Kulit

- Ibu akan berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kera

- Ia berlaku disebabkan darah kotor tidak habis keluar menyebabkan kekotoran keluar melalui liang roma peluh

- Ini akan berterusan jika darah nifas tidak habis dikeluarkan sepanjang tempoh berpantang

Antara simptom

- Terlalu lesu

- Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup

- Tidak boleh tidur malam (insomnia)

- Sedih keterlaluan

- Menangis tanpa sebab

- Resah gelisah

- Berasa diri tidak berharga

- Sentiasa berasa bersalah

- Emosi mudah terganggu

- Hilang selera makan

- Tidak boleh menumpukan perhatian

Antara punca

- Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia)

- Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan)

- Tekanan

- Kurang sokongan keluarga

- Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan

- Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak

- Melahirkan anak yang tidak dikehendaki (unplaned pregnancy)

- Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya)

2/01/17

6 KAEDAH MERAWAT DEMAM DI RUMAH DAN CARA MENCEGAHNYA


DEMAM ialah sebahagian daripada pertahanan badan terhadap jangkitan dan memberi tanda ada sesuatu luar biasa sedang berlaku dalam badan.

Demam memainkan peranan penting dalam membantu badan melawan beberapa jangkitan. Walaupun demam bukan penyakit, jika melebihi suhu 40 darjah Celsius (104 darjah Fahrenheit), ia boleh menjadi sangat berbahaya.

Untuk kanak-kanak kecil dan bayi, suhu yang sedikit tinggi mungkin menunjukkan jangkitan yang serius, tetapi tahap demam tidak semestinya menunjukkan betapa serius keadaannya secara umum.

Satu penyakit ringan boleh menyebabkan demam yang tinggi dan penyakit yang lebih serius boleh menyebabkan demam yang rendah.

Biasanya demam akan hilang dalam masa beberapa hari. Beberapa jenis ubat boleh merendahkan suhu demam, tetapi ada kalanya ia menjadi sebaliknya.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan demam, tidak ada pilihan selain turut merawatnya di rumah. Berikut beberapa cara untuk melakukan rawatan tambahan di rumah.

1. Mandi

Jika ingin merawat demam anda, rendamkan diri dalam tab mandi yang penuh dengan air sejuk. Air itu akan membantu menyejukkan kulit serta dapat menurunkan suhu badan.

2. Lapkan badan

Jika tidak mahu mandi, anda boleh menggunakan tuala lembap. Rendamkan tuala kecil dalam air sejuk dan sapukan ke seluruh badan atau letak kain di dahi untuk mengurangkan ketidakselesaan akibat demam.

3. Menurunkan suhu bilik

Mengurangkan suhu bilik mungkin boleh membuatkan anda berasa lebih selesa dan membantu untuk menurunkan suhu badan.

4. Keluarkan lapisan pakaian

Gabungan lapisan pakaian dan selimut memerangkap haba, menjadikan demam bertahan lebih lama daripada biasa. Pakai hanya beberapa lapisan pakaian. Hanya gunakan selimut untuk tempoh seram sejuk.

5. Dapatkan banyak rehat

Badan anda memerangi penyakit dan memerlukan banyak tenaga untuk pulih dengan sendirinya. Bagi mengembalikan kesihatan badan, sebaiknya hadkan aktiviti dan berehat sebanyak mungkin.

6. Kekal terhidrat

Badan memerlukan banyak cecair untuk melawan penyakit di dalam badan terutama jika sedang berpuasa. Bagi memenuhi keperluan cecair dalam badan, minum air dengan kerap sepanjang hari.

Pencegahan

Demam mungkin boleh dicegah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga. Antaranya:

1. Cara terbaik untuk mencegah demam adalah mengurangkan pendedahan kepada penyakit berjangkit.

Salah satu cara yang paling berkesan dan mudah untuk melakukannya adalah kerap mencuci tangan dengan bersih. Cuci tangan dengan sabun berbanding hanya air saja sebaik bangun tidur atau sebelum dan selepas menggunakan tandas atau makan.

2. Mengajar anak membasuh tangan mereka dengan kerap terutama sebelum makan, selepas menggunakan tandas, selepas menghabiskan masa di khalayak ramai atau bermain di luar rumah.

3. Menunjukkan kepada anak kaedah betul membasuh tangan di seluruh tapak dan belakang tapak tangan serta celah jari menggunakan sabun sebelum dilap dengan tuala atau tisu bersih.

26/08/16

SEL STEM ATAU DARAH TALI PUSAT BERPOTENSI MENYELAMATKAN NYAWA


KESEDARAN golongan ibu bapa di negara ini terhadap kepentingan perubatan anak dilihat semakin meningkat sehingga ada yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi tujuan tersebut.

Selain menyediakan peruntukan untuk insurans yang kebanyakannya menawarkan faedah perlindungan kesihatan, tidak ramai ibu bapa mengetahui mengenai perkhidmatan penyimpan sel stem dan darah dari tali pusat.

Keadaan tersebut berlaku mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai manfaat sel stem dan darah tali pusat dalam proses rawatan penyakit.

Ketua Pegawai Operasi StemLife Berhad, Zahrein Redza, berkata, tali pusat bayi mempunyai sel stem yang tinggi nilainya dan hanya boleh diperoleh sejurus selepas kelahiran bayi.

Tambah beliau, sel stem dari tali pusat adalah sel yang sangat tulen, menjadikannya lebih baik berbanding sel-sel sedia ada yang lain.

“Sel stem adalah sejenis sel dalam badan manusia yang berkeupayaan untuk mereplikasi lebih banyak sel stem yang sama atau berubah dan mengkhusus menjadi sel baharu dengan fungsi yang berlainan.
“Tetapi paling awal dan yang banyak dibuat kajian ialah sel stem darah tali pusat, di mana boleh mengubati penyakit-penyakit yang berkaitan dengan darah.

“Sudah lebih 20 tahun, sel stem darah tali pusat telah digunakan dalam perubatan transplan atau infusi sel stem ke dalam saluran darah pesakit untuk menjana semula tisu darah dan sistem imun,” ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Zahrein berkata, sel stem yag diperoleh dari tali pusat bayi adalah aset biologi yang berpotensi dan sangat bernilai untuk menyelamatkan nyawa atau melanjutkan nyawa seseorang jika ditimpa penyakit tertentu.

Katanya, keperluan penyimpanan sel stem darah tali pusat juga dikatakan bertambah penting apabila wujudnya pelbagai ‘penyakit moden’ berkaitan darah.

Berbicara lebih lanjut mengenai sel stem darah tali pusat ini, Zahrein menjelaskan, merupakan darah yang dikumpulkan dari tali pusat dan plasenta atau uri selepas bayi dilahirkan.

Darah ini kaya dengan sel tunjang, iaitu sel khusus tubuh, unsur darah, saraf, dan sel otot.

Sel stem ini boleh merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah untuk mengangkut oksigen ke semua sel badan, sel darah putih untuk melawan infeksi, dan platelet untuk pembekuan darah.

Untuk itu darah tali pusat merupakan punca yang agak baik untuk mendapat sel stem hemopoietik (HSC) dan kira-kira 100 mililiter boleh membina balik sistem hemopoietik dalam pesakit-pesakit yang kecil, biasanya kanak-kanak.

Bercerita lebih lanjut mengenai hal ini, Zahrein menjelaskan, penggunaan sel stem bagi tujuan perubatan tidak melanggar hukum syarak malah telah dipersetujui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Dalam hal ini, pada 2002 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah mempersetujui penggunaan sel stem dari uri dan darah tali pusat bayi yang mana hukumnya adalah harus.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada keperluan dan fungsinya sebagai penawar bagi mengatasi penyakit seseorang dan bukannya atas sebab-sebab lain.

“Untuk tujuan ini (pengambilan darah tali pusat), hanya darah yang akan diambil dalam tali pusat, manakala uri akan diserahkan kembali kepada ibu bapa khususnya pasangan Melayu bagi diuruskan sewajarnya,” sambungnya lagi.

Memberitahu penyakit-penyakit yang boleh dirawat menggunakan darah tali pusat, Zahrein berkata, antara penyakit darah yang biasa dihidapi kanak-kanak ialah talasemia, leukimia (kanser darah), dan cerebral palsy.

Sebagai contoh, pesakit talasemia hari ini mungkin mendapat harapan baharu apabila sel stem darah tali pusat dapat membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik.

Dengan menggunakan sel stem ini, pesakit tidak lagi perlu menjalani pemindahan darah yang dilakukan setiap hari.

Mengimbas kembali proses penyimpanan darah tali pusat, tutur Zahrein, proses pertama berlaku pada 1988 dan sejak itu lebih 6,000 proses pemindahan dan penyimpanan.

Begitupun, ulas Zahrein, kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kelebihan menyimpan darah tali pusat masih lagi rendah.

Ini dapat dilihat melalui statistik di mana kurang daripada 100,000 rakyat Malaysia yang menyimpan darah tali pusat baik di pusat umum, mahupun di pusat swasta sedangkan kelahiran bayi setiap tahun adalah 500,000.

Untuk itu, hari ini sama ada anda ingin melindungi masa depan keluarga atau merawat adik-beradik yang sedang menghidap penyakit tiada lagi alasan untuk tidak menyimpan darah tali pusat anak.
Sekurang-kurangnya mungkin dapat menyelamatkan nyawa orang lain.

Potensi menyelamatkan nyawa akan menjadi kenyataan sama ada menyimpan darah tali pusat anak di pusat umum yang diselenggara kerajaan mahupun di pusat swasta berlesen.