12/05/17

PENYAKIT KUNING BOLEH ANCAM NYAWA BAYI


Dilihat dari luaran dia seperti kanak-kanak normal lain. Bermain, bercakap dan ketawa seperti tiada sebarang penyakit tetapi hakikatnya, Batrisya Sofea Mudzaffar Shah, 8, disahkan menghidap penyakit Biliari Atresia (BA) sebaik dilahirkan.

Menurut bapanya yang juga seorang guru, Mudzaffar Shah Ali, 33, pada awalnya, dia hanya menyangka anaknya menghidap demam kuning (jaundis) seperti kebanyakan bayi baru lahir.

Namun, Mudzaffar menyedari sesuatu berlaku kepada puterinya apabila penyakit kuningnya berpanjangan sehingga tiga minggu dan najis anaknya berwarna kuning pucat, berbeza dengan najis bayi lain.

Tanpa membuang masa, Mudzaffar membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keadaan anak tunggalnya.

Selepas diperiksa, Batrisya yang ketika itu berusia 52 hari didapati menghidap BA dan perlu segera menjalani Kasai iaitu pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak serta penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Ternyata keputusan Mudzaffar yang juga Presiden Persatuan Biliari Atrisia Malaysia (BAMA) membenarkan anaknya menjalani pembedahan dengan cepat adalah tindakan tepat kerana anaknya kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun perlu menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar bagi memastikan dia kekal sihat.

“Alhamdulillah, syukur kini Batrisya boleh bermain seperti kanak-kanak seusianya selepas menjalani pembedahan Kasai. Mujur saya mengesan lebih awal perubahan najis anak yang berwarna seakan pucat.

“Ramai yang salah faham penyakit BA dengan demam kuning dan masih ada yang kurang peka terhadapnya. Nasihat saya, segera berjumpa doktor bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.

Pakar Pediatrik dan Genetik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Choy Yew Sing menjelaskan, BA adalah sejenis penyakit terdapat ketidakwujudan sistem hempedu luar, mengakibatkan demam kuning berpanjangan.

“Demam kuning adalah perkara biasa dalam dua minggu pertama selepas kelahiran dan ini dikenali sebagai jaundis fisiologi, tetapi jika ia berterusan lebih dua minggu, satu masalah yang lebih serius mungkin berlaku dan perlu segera melakukan diagnosis serta rawatan secepat mungkin.

“Bagi sesetengah kanak-kanak, BA mungkin berlaku kerana gen penting untuk pembentukan saluran hempedu bermasalah iaitu tidak membentuk dengan betul semasa di dalam kandungan.

“Namun, ada kajian menunjukkan kira-kira 75 peratus penghidap BA menghidapinya selepas kelahiran oleh beberapa sebab iaitu jangkitan virus seperti rotavirus dan reovirus, toksin pada alam sekitar dan penyakit autoimun,” katanya.

Menurut Dr. Choy, BA turut menyebabkan tiub hempedu terjejas dan membengkak lalu tersumbat menyebabkan hempedu tidak boleh keluar secara normal dan kemudian mengalir keluar ke salur darah yang menyebabkan badan jadi kuning. Ia juga menyebabkan najis menjadi pucat atau kelabu kerana ia tidak dirembeskan melalui usus.

“Simptom najis berwarna pucat tanda penting kepada BA, selain penyakit kuning berpanjangan kerana najis bayi biasanya berwarna kuning emas atau mustard. Oleh itu, ibu bapa perlu dididik untuk memantau sebarang kelainan dan segera bertemu dengan pakar,” katanya.

Sehingga kini, punca BA masih belum diketahui tetapi penyakit ini wujud sejak kelahiran lagi. Banyak teori dikemukakan dan besar kemungkinan sistem hempedu luar diserang oleh antibodi badan sendiri (auto-antibodies).

Dr. Choy turut menjelaskan, BA boleh dirawat melalui pembedahan dikenali prosedur Kasai atau pemindahan hati. Pembedahan Kasai, dinamakan selepas pakar bedah yang mencipta pembedahan itu di Jepun, biasanya merupakan rawatan pertama untuk BA.

“Ketika prosedur Kasai, pakar bedah membuang salur hempedu bayi yang rosak dan membawa satu gelung usus untuk menggantikan mereka. Hasilnya, hempedu mengalir terus ke usus kecil.

“Pembedahan ini tidak menyembuhkan BA tetapi ia boleh memulihkan aliran hempedu dan membetulkan banyak masalah yang disebabkan BA. Tanpa pembedahan, bayi dengan BA mungkin tidak dapat hidup melepasi umur dua tahun,” katanya.

Prosedur ini adalah paling berkesan pada bayi berumur kurang dari tiga bulan kerana mereka biasanya masih belum mengalami kerosakan hati kekal. Sesetengah bayi dengan BA yang menjalani prosedur Kasai berjaya mendapatkan semula kesihatan yang baik dan tidak lagi mempunyai penyakit kuning atau masalah hati utama.

“Pembedahan Kasai perlu dilakukan secepat mungkin kerana jika lambat, hati akan rosak. Kajian dijalan menunjukkan mereka lambat membuat pembedahan selepas 90 hari perlu melakukan transplan hati.

“Transplan hati bukan perkara yang mudah

kerana perlu mencari penderma yang dalam keadaan sihat dan penderma juga berisiko sepanjang pembedahan dijalankan, selain ia merupakan pembedahan yang berkos tinggi.

“Walaupun pembedahan Kasai tidak sepenuhnya berkesan merawat BA, ia dapat membeli masa untuk menangguhkan transplan hati dengan menunggu sehingga badan pesakit cukup kuat atau sehingga berat mereka mencukupi,” katanya.

Share this

0 Comment to "PENYAKIT KUNING BOLEH ANCAM NYAWA BAYI"

Catat Ulasan