Mungkin ada antara kita pernah berdepan dengan sesetengah ibu bapa muda yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka sejak bayi, lantas tertanya-tanya apakah yang menyebabkan kumpulan ini berpendirian sebegitu.
Lebih membimbangkan apabila wujud gerakan antivaksin yang semakin menular dan semakin lantang memberikan hujah dangkal yang nyata bertentangan dengan sains dan perubatan menerusi laman sesawang dan jaringan media sosial.
Cetusan ideologi baru ini pastinya menjadi kebimbangan kepada pengamal perubatan kerana ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin (atas masalah kesihatan) kepada penyakit.
Vaksin dicipta seawal 1930-an dan digunakan di serata dunia untuk mencegah penyakit berjangkit berbahaya serta disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Vaksin ialah virus atau bakteria yang telah mati atau dilemahkan fungsi virulen (bahaya) dengan kaedah tertentu. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut manakala kesan sampingan vaksinasi adalah perkara biasa. Biasanya kesannya amat ringan dan tidak membahayakan.
Vaksin terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berpandukan kepada Perluasan Program Imunisasi (EPI- Expanded Immunisation Programme) WHO.
Vaksin ini diberi secara percuma kepada semua bayi dan kanak-kanak di semua klinik kesihatan kerajaan dan ia merangkumi 10 jenis vaksin yang boleh menghalang penyakit. Pemberian vaksin secara menyeluruh adalah penting untuk menjayakan program imunisasi ini.
Lebih banyak vaksin mungkin akan diperkenalkan pada masa akan datang. Jadual imunisasi yang sedia ada ini mungkin akan diubah suai dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
Bagaimanapun, salah faham mengenai imunisasi bukanlah perkara baru, maka adalah penting bagi kakitangan kesihatan berpengetahuan dan arif agar dapat mengatasi keraguan dan salah faham yang timbul.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Batu 2.5 Chukai, Kemaman, Dr Suhazeli Abdullah, jika imunisasi tidak berkesan, maka negara kita akan menghadapi wabak pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Katanya, tidak semua orang mempunyai sistem daya tahan melawan penyakit berbahaya dan oleh kerana tidak ada cara terbaik untuk kita mengenal pasti individu berkenaan, maka adalah penting setiap kanak-kanak diberi imunisasi lengkap supaya semua pihak mendapat perlindungan sepenuhnya.
“Ada beranggapan anak mereka tidak memerlukan imunisasi kerana penyakit berjangkit tidak selalu berlaku. Tanggapan ini tidak benar kerana imunisasi adalah penting untuk memastikan anak anda sihat. Masih lagi terdapat penyakit berjangkit yang berbahaya di Malaysia.
“Mungkin ibu bapa antivaksin ini menganggap boleh melindungi anak mereka daripada penyakit berjangkit dengan menjauh atau mengasingkan anak mereka daripada kanak-kanak lain. Kaedah ini tidak berkesan kerana masih ada kanak-kanak yang dijaga oleh ibu sendiri, dikawal ketat dan tidak dibawa ke tempat ramai orang masih mendapat jangkitan penyakit berbahaya.
“Tidak mungkin kita dapat melindungi anak sepenuhnya kerana kita sebagai ibu bapa masih perlu bekerja dan bergaul dengan masyarakat baik rakan sekerja mahupun pelanggan. Apabila balik ke rumah, kita akan membawa pelbagai bakteria atau virus dan memindahkan mikro organisma itu kepada anak tanpa disedari.
“Sebenarnya bakteria atau virus ini bukan hanya dibawa atau disebarkan oleh kanak-kanak bahkan juga orang dewasa termasuklah ibu bapa sendiri. Tidak mungkin kita boleh tanpa berurusan atau bercampur dengan masyarakat. Itu belum masuk faktor alam sekitar kerana bakteria sentiasa ada di sekeliling kita,” katanya.
Sebagai contoh, bakteria tetanus yang terdapat di dalam tanah juga boleh menjangkiti kanak-kanak melalui luka ringan yang sekali gus menyebabkan risiko mendapat penyakit tetanus atau kancing gigi.
Dr Suhazeli berkata, cara terbaik untuk melindungi anak terutama yang berumur kurang daripada lima tahun ialah melalui imunisasi. Tidak perlu risau, imunisasi adalah selamat kerana semua vaksin sudah diuji keberkesanan dan keselamatannya.
Tahap kesan sampingan terhadap imunisasi juga sudah diuji dan pemantauan berterusan dijalankan walaupun vaksin itu diluluskan oleh pihak bertanggungjawab dan juga KKM.
Beliau mengakui memang imunisasi ada kesan sampingan tertentu tetapi ia amat ringan dan ia adalah jauh lebih baik berbanding mendapat penyakit itu sendiri. Tanggapan bahawa imunisasi tidak selamat kononnya dan risikonya lebih tinggi berbanding penyakit itu sendiri adalah tidak benar sama sekali.
“Ada juga pihak mendakwa vaksinasi adalah agenda Yahudi dan persoalan ini sering ditimbulkan melalui media sosial, namun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
“Mereka mendakwa Rockfellar, seorang saudagar tersohor Yahudi yang memulakan projek vaksin ini dan menaja WHO bagi membunuh kaum lain selain orang Yahudi termasuk umat Islam.
“Ironis juga kenyataan tanpa fakta jelas ini. Rockfellar meninggal dunia sekitar tahun 1937 manakala penubuhan WHO bermula pada 1948 (selepas Perang Dunia Kedua) dengan matlamat yang jelas demi kesinambungan kesihatan manusia sejagat, bukannya memusnahkan manusia di alam ini. Di negara mereka sendiri turut mewajibkan imunisasi vaksin ini kepada rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, ia sebahagian mitos yang sering dibawa oleh golongan yang paranoid dengan vaksin. Ada antaranya menggunakan alasan keramat agama bagi menghindarkan anak mereka daripada disuntik vaksin.
“Tanpa sedar mereka sebenarnya menjalankan eksperimen ke atas anak sendiri, tanpa satu sandaran yang ampuh. Memang benar penyakit dan kematian adalah ketentuan Allah, namun Islam tidak menolak ikhtiar. Islam juga tidak menolak tawakal. Sebelum bertawakal, Rasulullah mengarahkan kita berazam, dengan erti kata lain melakukan ikhtiar dulu bagi menghindarkan musibah,” katanya.
Katanya, soal pemberian vaksin yang mengancam nyawa seperti didakwa sesetengah pihak tidak sepatutnya timbul. Ini kerana sistem pelaporan kesan sampingan atau kurang baik (advers) satu-satu ubat sudah diperkenalkan di negara ini bagi membolehkan anggota kesihatan untuk mengambil bahagian dalam pemantauan keselamatan ubat-ubatan dengan cara melaporkan kesan kurang baik yang ditemui.
Sistem Pemonitoran Kesan Advers ubat ini sudah wujud di setiap premis kesihatan dalam negara kita. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bertanggungjawab mengumpul semua laporan kesan kurang baik berkaitan produk farmaseutikal termasuk vaksin selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 1989) bagi memastikan ia selamat, berkualiti dan berkesan.
Semua laporan berkaitan kesan kurang baik berikutan pelalian akan dibentangkan oleh Pusat Pemantauan Kesan Advers Ubat Kebangsaan kepada Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin.
Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin boleh membuat syor mengenai keselamatan vaksin berdasarkan laporan analisis kesan kurang baik berikutan pelalian yang sudah dibentangkan.
Walaupun pada pering-kat awal kajian membuktikan sesuatu ubat berkesan kepada manusia, namun pelaporan dari semasa ke semasa penting bagi menjamin kualiti keberkesanan sesuatu ubat.
Sehingga kini tiada laporan serius atau bahaya yang dilaporkan daripada statistik farmakovigilans mengenai vaksin yang terdapat dalam pasaran.Menurut KKM, vaksin turut disediakan untuk remaja bagi mencegah daripada kanser serviks.
Terdapat formula yang berlainan untuk satu-satu jenis vaksin:
- Batuk kokol/Pertussis - Ada dua jenis iaitu vaksin tanpa sel atau seluruh sel.
- Vaksin polio - Ada dua jenis iaitu vaksin yang mengandungi sel yang sudah dimatikan terlebih dulu atau vaksin yang mengandungi sel hidup tetapi sudah dilemahkan.
Vaksin untuk kanak-kanak yang masih tiada dalam jadual imunisasi KKM ialah:
- Cacar air.
- Jangkitan meningokokal.
- Jangkitan pneumokokal.
- Rotavirus.
- Influenza.
Vaksin untuk kanak-kanak yang melancong ke luar negara atau mempunyai risiko untuk dijangkiti:
- Hepatitis A.
- Demam kepialu.
Vaksin yang disediakan untuk remaja bagi mencegah daripada kanser serviks:
- Human papilloma virus (HPV) - diberi secara percuma oleh Pasukan Sekolah Pejabat Kesihatan KKM seluruh negara.
Vaksin khusus untuk sesuatu penyakit:
- Pertussis - keseluruhan sel pertusis wP dan vaksin tanpa sel pertusis aP.
- Poliomyelitis - Vaksin hidup yang dilemahkan dan yang telah dimatikan terlebih dahulu.
- Cacar air atau varicella.
- Penyakit meningococcal .
- Penyakit pneumococcal.
- Jangkitan rotavirus.
- Jangkitan influenza.
- Hepatitis A.
- Demam kepialu.
- Human papillomavirus (HPV).