8/09/14

JANGAN ANGGAP REMEH SAKIT DI PAYUDARA

ANTARA contoh perubahan pada payudara yang menandakan penyakit kanser.

Ramai yang tahu tapi malu. Tidak kurang yang peka tapi se­ngaja mengabaikannya atas alasan diri sihat dan mungkin tidak berisiko mengalaminya.

Namun percayalah, setiap wanita berisiko kanser payudara dan ia menjadi ancaman utama kepada golongan Hawa seluruh dunia selepas kanser pangkal rahim.

Dianggarkan bagi setiap 100,000 wanita di dunia, 127 orang menderita kanser payudara manakala 25 kematian disebabkan kanser terbabit.

Di Malaysia sendiri, se­orang daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser payudara hingga membawa kepada kematian.

Lebih mengejutkan baru-baru ini apabila kanak-kanak seawal usia enam tahun didapati menghidap kanser payudara yang sebelum ini hanya berlaku dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas.

Apa sebenarnya kanser payudara? Jelas Ketua Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan di Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin, kanser payudara adalah ketumbuhan malignan yang bermula daripada sel dalam payudara itu sendiri.

Ketumbuhan malignan ini pula kumpulan kanser yang mungkin menyerang tisu sekeliling atau menyebarkannya ke kawasan lain dalam tubuh hingga memudaratkan kesihatan. 

Statistiknya sudah di depan mata dan semua maklumat kini di hujung jari namun realitinya masih ramai yang enggan melakukan pemeriksaan, sama ada dilakukan sendiri atau ke klinik kerana beranggapan diri bebas pe­nyakit. 

Pelbagai alasan diberikan untuk mengelak melakukan pemeriksaan terutama apabila perlu ke klinik atau hospital yang sebenarnya berpunca daripada kebimbangan disahkan menghidap penyakit itu. 

Dr Dalilah Kamaruddin, wanita di negara ini faham serta sedar mengenai risiko kanser payudara tapi emosi penafian lebih menguasai diri hinggakan tidak nampak realiti yang melanda masyarakat hari ini. 

“Jika ditanya secara rawak, ramai wanita me­ngatakan tahu mengenai kanser payudara. Mereka tahu simptom dan tandanya.

“Tapi apabila ditanya sama ada pernah melakukan pemeriksaan sendiri atau di klinik, majoriti mengatakan tidak. 

“Apabila ditanya lebih lanjut, faktor malu dan sering menafikan kemerosotan kesihatan diri antara punca ramai wanita terlewat mendapatkan rawatan selepas didapati menghidap kanser payudara. 

“Lalu apabila disahkan kanser mereka di peringkat ketiga atau keempat, wanita terbabit mula hilang daya semangat untuk meneruskan kehidupan. 

“Apabila ini berlaku, ia bukan saja memberi kesan negatif kepada pesakit malah impak yang lebih besar di­alami ahli keluarga atau penjaga si pesakit,” katanya. 

Justeru, kempen kesedaran kanser payudara yang akan berlangsung bulan depan memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah saringan dan pencegahannya.

“Sejak beberapa tahun lalu NCSM dan beberapa organisasi lain berusaha meningkatkan kesedaran me­ngenai kanser payudara lalu sudah tiba masanya usaha itu diteruskan ke peringkat lanjutan.

“Peringkat lanjutan atau advance breast cancer (ABC) ini fokus kepada mereka yang disahkan menghidap kanser payudara di peringkat ketiga dan keempat. 

“ABC adalah keadaan kanser payudara invasif yang sudah merebak dari kawasan payudara serta nodus limpa berdekatan ke kawasan organ tubuh lain seperti paru-paru, nodus limfa yang jauh, kulit, tulang, hati atau otak. 

“ABC peringkat ketiga merujuk kepada kawasan setempat iaitu kanser yang sudah merebak ke nodus limfa atau tisu lain di sekitar payudara tapi tidak ke kawasan lain pada tubuh. 

“Sementara peringkat keempat adalah kanser payudara metastik yang membuatkan merebaknya kanser ke kawasan lain pada tubuh seperti hati, paru-paru, otak dan sebagainya.

“Dalam kebanyakan kes, wanita di negara ini hanya ke hospital apabila keadaan makin mudarat kerana tidak peka dengan aspek saringan dan pencegahan yang banyak dilakukan NCSM, organisasi kanser lain, klinik serta hospital sebelum ini.

“Oleh itu, pentingnya kesedaran mengenai ABC disebarkan kepada masyarakat khususnya wanita dalam usaha untuk mengawal pe­nyakit itu, di samping melambatkan perkembangan kanser dan pada masa sama mengekalkan kualiti kehidupan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Dr Dalilah tidak ketinggalan menjelaskan trend kanser payudara terkini iaitu membabitkan wanita yang menyusukan bayi.

“Masyarakat kita percaya wanita yang menyusukan bayinya tidak berisiko menghidap kanser payudara tapi ia sama sekali tidak benar kerana berdasarkan kes terkini, meningkatnya jumlah wanita yang menyusukan bayinya mengalami kanser payudara. 

“Menyusukan bayi lebih 18 bulan dapat mengurang­kan risiko kanser kurang daripada 10 peratus tapi aspek itu saja tidak boleh diambil kira kerana ia berlaku disebabkan hormon. 

“Selain itu, kanser juga merebak dengan agresif pada kelenjar susu lalu membuatkan ibu akan berasa sakit ketika menyusukan bayi malah ramai dilaporkan mengalami pendarahan di puting,” ujarnya. 

Malangnya, ubatan tradisional terlebih dulu menjadi pilihan sebelum keadaan menjadi lebih parah hingga membuatkan pesakit lambat ke hospital untuk mendapat­kan rawatan.


PEMERIKSAAN SENDIRI DI RUMAH 

Periksa payudara sekurang-kurangnya sebulan sekali. Lakukannya antara hari ketujuh hingga ke-10 selepas hari pertama haid atau tetap­kan hari yang sama setiap bulan jika tidak mengalami haid.


1. Lihat perubahan 

- Berdiri di depan cermin. Perhatikan sebarang perubahan pada payudara dalam keadaan ini.

- Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian tepi badan.

- Kedua-dua tangan diangkat melepasi kepala.

- Kedua-dua tangan pada pinggul, tunduk ke depan dan tegangkan otot dada.

- Perhatikan sebarang perubahan sama ada dari segi saiz dan bentuk payudara, tanda bengkak di sekitar payudara, tanda bengkak di ketiak atau tulang selangka. Juga perhatikan jika ada perubahan tekstur kulit, pe­nyongsangan puting, ruam atau puting berkeping.


2. Rasa perubahan 

- Boleh dilakukan sama ada ketika berdiri atau berbaring. Jika berdiri, angkat tangan kanan dan letakkan di belakang kepala.

- Jika berbaring, letakkan bantal kecil di bawah bahu kanan dan letakkan tangan kanan di belakang kepala.

- Gunakan hujung tiga jari yang pertama pada ta­ngan kiri lalu urut payudara perlahan-lahan.

- Mulakan dari bawah ketiak, kemudian ke bawah tulang selangka lalu ke payudara.

- Picit puting perlahan-lahan untuk memeriksa sebarang cecair, pendarahan atau rasa sakit.

- Rasa sebarang perubahan seperti ketulan atau ketegangan pada payudara, puting juga ketiak. Ambil perhatian jika sakit di payudara berlanjutan. 


KAEDAH PENGESANAN DI KLINIK ATAU HOSPITAL

- Mamogram 
- Pemeriksaan klinikal payudara 
- Sinar-X pada dada

Share this

0 Comment to "JANGAN ANGGAP REMEH SAKIT DI PAYUDARA"

Catat Ulasan