Keluarga, unit utama kepada masyarakat, negara dan manusia kerana ia terbentuk melalui institusi perkahwinan. Menerusi institusi inilah seharusnya pasangan suami isteri saling memahami dan sayang menyayangi antara satu sama lain.
Perkahwinan adalah proses mengatur kehidupan supaya anak-anak yang lahir bakal menjadi generasi pelapis yang beriman dan kuat jati diri.
Selain wanita yang bergelar isteri dan ibu, lelaki yang bertindak sebagai suami dan bapa memainkan peranan besar dalam kehidupan berumahtangga.
Peranan sebagai pemimpin keluarga harus dilaksanakan penuh kasih sayang.
Bapa hari ini bukan hanya bertanggungjawab dalam memberi makan, pakai dan kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Ini kerana bapa juga harus menjadi insan yang melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarganya supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
Dalam keluarga, nilai pelindung perlu ada bagi suami. Bapa bukan sekadar menyara keluarga dan berperanan melindungi isteri, malah bapa jugalah memberi kebahagiaan dan kedamaian keluarga.
Peranan ini perlu diperkasakan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala tidak sihat dan maksiat. Jika suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, dia harus melaksanakan amanah itu kerana segala kelakuan dan sikap akan dipersoalkan Allah SWT di akhirat kelak.
Suami bertanggungjawab isteri bahagia
Apabila isteri bahagia kerana suaminya bertanggungjawab, dia akan menjadi ibu yang baik kepada zuriat suami dan hasilnya anak akan membesar dengan kasih sayang, tunjuk ajar serta bakal menjadi cerdik dan cemerlang.
Lantas lahirlah generasi pelapis yang ceria dan bahagia serta menjadi anugerah harta paling berharga kepada keluarga dan negara.
Namun kajian kini menunjukkan ramai anak yang terjebak dengan bermacam kegiatan kurang sihat antaranya amalan merokok dan salah guna dadah.
Penghuni di pusat serenti juga semakin ramai . Daripada jumlah itu, ramai anak muda yang terjebak dengan jenayah juvana, tidak kurang juga terbabit dengan wabak penyakit AIDS atau HIV.
Gejala lumba haram baik di bandar mahupun di luar bandar juga semakin berleluasa dan membimbangkan kerana ia meruntuhkan akhlak dan moral anak muda.
Kajian ahli psikologi Barat mendapati, corak pergaulan antara ibu bapa dengan anak memainkan peranan penting dalam penentuan corak hidup mereka.
Remaja yang menghadapi masalah juvana didapati mempunyai ibu bapa yang gagal dalam membentuk nilai murni serta tidak tetap dalam memberi tunjuk ajar dan terlalu garang sewaktu menghukum kesalahan anak.
Secara semula jadinya naluri seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang dan kelembutan menjadi rujukan serta mempunyai hubungan yang baik dengan anak.
Namun, bapa sering dilihat sebagai kurang arif bergaul dan kurang membabitkan diri dengan kegiatan anak.
Sepatutnya bapa mewujudkan suasana mesra dengan anak sejak kecil, bertanya khabar dan perkembangan anak supaya ruang perhubungan sentiasa terbuka dan si anak tidak teragak-agak meluahkan segala masalah.
Sebaliknya jika bapa bengis dan kurang berhubung dengan anak, tidak hairanlah jika kita dapati si anak melakukan perkara kurang menyenangkan untuk menarik perhatian ibu bapa.
Tingkah laku itu akan berterusan hingga ke sekolah, menyebabkan kerja sekolah terganggu dan mereka juga agak sukar menyesuaikan diri dengan rakan sekelas.
Galak peluk, cium anak
Aktiviti riadah bersama anak secara santai antara langkah yang boleh diambil bagi mengeratkan pertalian antara ibu bapa dengan anak.
Ibu mahupun bapa juga digalakkan untuk selalu mencium anak selain memeluk mereka sebagai cara merapat dan menambah kasih sayang serta mengeratkan hubungan.
Bapa juga harus berilmu dan berwibawa dalam mendidik anak. Nilai agama harus diterapkan dalam sesebuah rumah tangga kerana masalah remaja hari ini banyak berpunca daripada masalah akhlaknya.
Sajian daripada media elektronik menjadi santapan utama remaja. Ini diburukkan dengan kawalan minimum atau tiada kawalan langsung daripada ibu bapa.
Menurut perunding motivasi keibubapaan Zaid Mohamad, ada banyak cara golongan bapa boleh membabitkan diri secara langsung dan positif dalam proses membesarkan anak terutama di tahun awal.
Kebanyakan budaya dan cara hidup di Asia meletakkan peranan bapa sebagai seorang ketua keluarga yang jarang terbabit dalam urusan harian rumah tangga termasuk membesarkan anak.
“Tetapi kini sudah banyak berubah dan ramai bapa moden mahu terbabit secara langsung dan aktif dalam membesarkan anak mereka.
“Terlalu banyak faedahnya jika bapa terbabit secara langsung, antaranya ia meringankan beban dan tekanan si ibu. Ini memang bagus kerana ibu yang tertekan amat tidak baik kepada keluarga,” katanya.
Menurut Zaid, kajian dilakukan saintis menunjukkan anak yang bapanya membabitkan diri secara langsung sepanjang proses pembesarannya akan menjadi jauh lebih pintar daripada anak yang tidak mendapat peluang sebegitu.
“Anak itu juga biasanya mendapat markah lebih tinggi berbanding pelajar lain dan mereka lebih berjaya dalam karier masing-masing.
“Selain itu, mereka lebih mudah berkawan dan menangani masalah sosial dengan lebih baik. Ini kerana si bapa secara tidak langsung mengajar anak-anak mereka untuk menjadi seorang
yang lebih prihatin, yakin, mampu mengawal diri, seimbang secara psikologi dan mempunyai kemahiran bersosial,” katanya.
0 Comment to "BAPA ATAU SUAMI YANG BAIK PENENTU MASA DEPAN KELUARGA & ZURIAT"
Catat Ulasan