Memaparkan catatan dengan label MAUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MAUT. Papar semua catatan

6/06/16

TAHAP KESEDARAN MENGENAI PENYAKIT KENCING TIKUS


Kelewatan mendapatkan rawatan awal terhadap demam yang dianggap biasa, menjadi punca kepada penghidap penyakit leptospirosis atau kencing tikus, maut.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata‎, simptom penyakit itu akan mula dirasai selepas beberapa hari mengunjungi pusat perkelahan yang tercemar dengan bakteria leptospira itu.

Beliau berkata, antara tanda-tanda jangkitan antaranya demam yang tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam di kulit.

"Kematian boleh berlaku terhadap kes yang teruk terutama mereka yang mempunyai penyakit lain seperti 'diabetes comorbidities' dan tidak menerima rawatan sewajarnya. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah jangkitan kuman di otak (meningitis), pendarahan paru-paru yang teruk, kegagalan fungsi hati dan ginjal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, individu yang mendapatkan rawatan perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat mengenai kunjungan mereka ke kawasan rekreasi sebelum mengalami gejala penyakit berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit itu akan menjalani ujian pengesahan makmal ke atas sampel klinikal seperti sampel darah dan ujian lain yang boleh mengesan serta mengesahkan kehadiran antigen mahupun antibodi terhadap leptospirosis.

"Oleh itu, pesakit yang menghidap penyakit itu akan diberi rawatan lanjut dengan memberi penisilin, doksisiklin atau lain-lain antibiotik yang berkaitan," katanya.

Leptospirosis adalah suatu penyakit berjangkit daripada haiwan yang dijangkiti oleh bakteria leptospira kepada manusia (penyakit zoonosis). Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada makanan, air atau tanah yang telah dicemari air kencing haiwan terjangkit (haiwan pembawa).

Bakteria ini boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan/minuman tercemar atau memasuki tubuh manusia melalui luka/kudis di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan mukosa mulut yang bersentuhan dengan air atau persekitaran tercemar.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini hingga Mei lalu sebanyak 2,234 kes direkodkan, dan pada tahun lepas sebanyak 8,291 kes dilaporkan, 2014 (7,806), 2013 (4,457) dan 2012 (3,665).

"Tahun lepas, daripada jumlah kes yang dicatatkan, seramai 5,455 atau 66 peratus yang dijangkiti adalah lelaki dan 2,836 kes atau 34 peratus adalah wanita," katanya.

Menurut Dr Noor Hisyam statistik menunjukkan jumlah kematian paling ramai direkodkan pada tahun 2014 iaitu 92 orang diikuti tahun 2015 (78), 2013 (71), 2012 (48) dan sejak awal tahun sehingga Mei lalu, empat kematian direkodkan disebabkan jangkitan kencing tikus.

Katanya, kumpulan umur yang paling tinggi mendapat jangkitan penyakit itu adalah antara lingkungan umur 25 dan 55 tahun dan ia berkait rapat dengan jenis pekerjaan yang dijalankan.

"Jenis pekerjaan yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini ialah pekerja di sektor pertanian, pekerja pengurusan sisa, pengendali haiwan ternakan dan peliharaan, pasukan penyelamat, mereka yang terlibat aktiviti rekreasi dan individu yang mempunyai penyakit kronik serta luka kulit terbuka," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisyam berkata kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mengutamakan kebersihan persekitaran.

"Orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi khususnya, dinasihatkan agar peka terhadap jangkitan leptospirosis yang boleh berlaku terutama sekali jika terlibat dalam aktiviti air. 

23/11/14

JANGAN AMBIL REMEH TENTANG ALAHAN

Alahan adalah tindak balas terlebih sensitif atau hipersensitif oleh sel immunisasi badan kepada sesuatu bahan atau alergen. Alahan ini menyebabkan respons berbeza, bergantung kepada organ badan mana berlakunya alahan itu.

Jika berlaku pada kulit, ia boleh menyebabkan ruam alahan kulit atau ekzema. Alahan pada hidung pula boleh menyebabkan hidung berair, bersin, mata dan hidung menjadi gatal.

Tindak balas hipersensitif ini juga boleh mengancam nyawa jika berlaku pada organ paru-paru dan saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan seseorang pesakit seolah-olah mengalami serangan asma.

Tindak balas alahan yang berlaku secara cepat dan tiba-tiba boleh menyebabkan seseorang pesakit koma atau kematian kerana serangan pernafasan yang akut. Ini disebabkan gangguan terhadap bekalan oksigen ketika serangan berlaku.

Alergen yang menyebabkan alahan boleh berpunca dari pelbagai sumber. Alergen akan memasuki badan pesakit dan merangsang sistem imunisasi, menjadikannya terlalu aktif. Keadaan ini menimbulkan simptom alahan.

Satu sumber alahan ialah pemakanan. Setiap pesakit mempunyai alahan berbeza. Antara makanan yang boleh menyebabkan alahan ialah soya, kekacang, makanan laut, ayam, telur, gandum dan susu lembu.

Reaksi alahan ini biasanya hanya berlaku pada kulit pesakit dan jarang mengakibatkan serangan pernafasan. Pesakit mengalami kegatalan dan ruam bintat pada hampir keseluruhan badan.

Bahan kimia seperti sabun basuh pinggan dan sabun mandi pula menyebabkan ruam berlaku pada tapak tangan dan bahagian pelipat baju.

Udara berhabuk dan berdebu, minyak wangi serta penyembur haruman bilik juga boleh menyebabkan berlaku alahan. Namun, biasanya ia hanya membabitkan reaksi di mana hidung dan mata menjadi gatal dan berair.

Ubat seperti antibiotik dan penahan sakit boleh menyebabkan alahan berlaku. Selain itu, gigitan serangga seperti lebah, tebuan, penyengat menyebabkan badan pesakit menghasilkan reaksi imunisasi yang terlalu cepat.

Alahan ini boleh menyebabkan serangan pada saluran pernafasan dan kegagalan beberapa organ badan yang boleh mengancam nyawa dan kematian.

Alahan ialah sesuatu yang pesakit tidak pernah tahu kecuali sesudah terdedah kepada alergen dan pesakit mengalami alahan terhadapnya.

Antara cara mengenal pasti alahan ialah dengan menjalankan ujian darah atau ujian kulit untuk menentukan jenis allergen. Beberapa sampel alergen akan disuntik di bawah kulit, dan pemerhatian dilakukan untuk mengenal pasti jenis alahan.

Namun, hanya beberapa jenis alergen dapat dikesan, bergantung kepada kemampuan makmal atau hospital yang melakukannya.

Biasanya, ujian dilakukan pada jenis alergen yang biasa menyebabkan alahan berlaku. Faktor utama menyebabkan berlaku alahan ialah keturunan.

Jika seseorang itu mempunyai alahan, kemungkinan besar generasi berikutnya mengalami alahan tetapi tidak semua simptom alahan sama.

Reaksi simptom alahan itu berbeza. Selain itu, tidak semua alergen juga sama dalam keturunannya. Namun, penting untuk mengenal pasti jenis allergen bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini.