14/05/14

MENENANGKAN TANGISAN SI KECIL

Anak saya sedang menangis. Apa yang harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai bagi dirinya dan anda. 

1. Bedung bayi dan peluk dengan kuat. Bayi baru lahir menunjukkan kecenderungan untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim. Jadi anda ­mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan sama ada dia suka dibedung atau sebaliknya. 

Ramai ibu dan bapa juga mendapati memeluk bayi rapat, terutama apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan.

PELUK erat bayi anda.

Sesetengah bayi pula mungkin berasa bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

2. Dapatkan ritma yang sekata. Di dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda yang juga satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. 

Bagaimanapun, bunyi lain yang teratur dan berulang juga boleh mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. 

Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh yang teratur atau bunyi bercorak dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut yang dapat membuatkan mereka tertidur. 

Tapi awas, jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan dia di atas lantai berdekatan dengan mesin terbabit. 

3. Buai bayi. Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan dan anda mungkin dapati bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, sama ada dodoi sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang. 

Buaian khas bayi atau kain gendong tradisional boleh menenangkan sesetengah bayi manakala sesetengah yang lain pula lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa berjalan dalam kereta. 

4. Cuba kaedah urutan. Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya. 

Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. 

Bayi yang menghidap kolik kadangkala rasa selesa jika perut mereka digosok dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya sudah mencuba membantu bayi yang cemas. 

5. Biarkan dia menghisap sesuatu. Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh memberi ketenangan. 

“Hisapan selesa” boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, perutnya lebih relaks dan membantu dia bertenang. 

6. Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi pada diri anda. Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak tekanan dan kebimbangan bagi ibu bapanya. 

Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri. 

Mereka berasa tidak cekap sebagai ibu bapa yang menyebabkan bayi menangis tetapi ini bukan hakikatnya. 

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda sudah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis dan anda pula sudah mencuba segala-galanya untuk menenangkannya, tetapi tidak berhasil, sudah tiba masanya anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak putus asa. 

Berikut beberapa cadangan: 

• Tarik nafas panjang. 

• Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa anda mendengar tangisannya. 

• Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan tenangkan diri sendiri untuk 10 minit. 

• Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda sekejap. 

• Cari kumpulan ­sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi yang mana anda boleh berkongsi perasaan dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain mengenai cara untuk menangani tangisan bayi. 

• Ingatkan diri anda ­bahawa bayi anda tidak mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima ­kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuatkan diri anda letih dengan mencari sebab tangisan, menyalahkan diri sendiri atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan. 

• Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Share this

0 Comment to "MENENANGKAN TANGISAN SI KECIL"

Catat Ulasan