Kanak-kanak yang lambat perkembangannya perlu didedahkan kepada persekitaran yang betul untuk membolehkan si kecil ini kembali normal.
Walaupun ia tidak membimbangkan, ibu bapa seharusnya mengambil berat hal ini. Barangkali ada ibu bapa yang tidak mengendahkan perkara ini kerana menganggap anak tidak menghadapi sebarang masalah cuma lambat dari segi perkembangan.
Bagaimanapun sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal, ia boleh memberi kesan kepada anak yang tidak berkembang pada kadar sewajarnya.
Memikirkan kepentingan rawatan awal masalah ini, Rinarul Emma Mohd Nor, 33, yang bekerja sebagai guru segera mendapatkan rawatan pakar untuk menyelesaikan masalah dihadapi anak tunggalnya, Muhammad Khalif Ar Rayyan Bakhtiar, 4.
Anaknya itu agak lambat berjalan iaitu pada usia setahun enam bulan manakala ketika berusia tiga tahun, anaknya langsung tidak boleh bercakap dan tidak pandai untuk menyebut perkataan mudah seperti ibu atau ayah.
Perkara itu amat membimbangkan kerana anak tunggal hasil perkongsian dengan suami, Bakhtiar Hassan, 38, hanya memberi reaksi dengan tingkah laku seperti menarik rambut dan menyebut perkataan mudah.
“Setiap kali mahukan sesuatu, dia memberontak dengan menangis sehingga keinginannya diperoleh.
“Dia juga menarik rambut untuk menyatakan sesuatu hingga kami berasa anak kami bermasalah. Malah dia juga langsung tidak pandai menunjukkan reaksi untuk mendapatkan barangan yang dimahukan dan kami perlu tahu menterjemahkan apa yang dia kehendaki,” katanya.
Seharusnya pada umur begitu, anaknya sudah mengetahui beberapa perkataan seperti menyebut ibu, ayah dan beberapa perkataan mudah.
Namun anaknya langsung tidak tahu menyebut perkataan mudah, malah hanya memberontak dan menangis.
Anaknya juga hiperaktif dengan melakukan sesuatu perkara tanpa berasa penat hinggakan dia dan suami yang keletihan.
Memikirkan cara sesuai, dia bersama suami mendapatkan rawatan terapi dua kali sebulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, kira-kira setahun lalu.
Pakar juga mencadangkan supaya dia mencari pusat pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak untuk membantu mempercepatkan proses perkembangannya.
Wanita ini akui sanggup melakukan apa saja demi memulihkan perkembangan anak kesayangan mereka, malah dia tidak jemu mencari beberapa pusat termasuk tadika, namun kebanyakannya tidak sesuai.
Akhirnya dia menemui pusat perkembangan kanak-kanak Excel Qhalef di Jalan Reko Kajang yang menyediakan pelbagai latihan dan pembelajaran untuk kanak-kanak berusia kurang lima tahun.
Rinarul berkata, antara latihan yang disediakan ialah komunikasi, cara bergaul dengan rakan serta pembelajaran sambil bermain yang sesuai dengan usia anak.
Anak kecil sememangnya tidak boleh dipaksa dan diberi arahan kerana mereka akan cepat memberontak.
“Justeru, kita harus tahu apa yang sesuai, misalnya dari segi cara didikan kerana mereka akan mudah faham, bukannya memberi pelbagai arahan tidak munasabah.
“Pembelajaran di pusat itu memberi perkembangan positif dalam masa empat bulan apabila anak saya sudah pandai menyebut perkataan mudah.
“Ia amat menggembirakan kami kerana berlaku perubahan drastik pada anak yang tidak lagi memberontak untuk mendapatkan sesuatu,” katanya.
Menceritakan sikap anaknya sebelum ini, si kecil itu langsung tidak boleh melihat dirinya bercakap dengan suami atau rakan kerana dia mudah bosan dengan menunjukkan reaksi menarik rambut atau menangis.
Pada umur tiga tahun, perbuatan itu tidak sesuai dengan dirinya kerana dia seharusnya sudah pandai mendengar arahan dan didikan.
Menurutnya, selepas empat bulan sesi pembelajaran, anaknya menunjukkan perubahan ketara apabila sikap agresif dan suka memberontak hilang serta-merta.
Anaknya juga lebih matang, sesuai dengan usia malah tidak lagi menarik rambut apabila dia bercakap dengan suami dan rakan. Kini si kecil itu berdiam diri atau bermain dengan permainannya saja.
Malah menurut Rinarul, sebelum ini anaknya langsung tidak pandai melompat dan bermain permainan, namun dia bersyukur sesi pembelajaran di pusat berkenaan mengubah segala-galanya.
Walaupun hanya menghadiri kelas seminggu sekali, ia sudah memadai kerana memberi peluang kepada anak kecil untuk belajar, bergaul dan bercakap dengan rakan lain.
Praktik di rumah
Pembelajaran anak bersama ibu bapa dan guru itu sesuai dipraktikkan kerana mengubah sikap anak kecil supaya menjadi lebih matang.
Antara pembelajarannya termasuk melukis, mewarna bersama ibu bapa, bermain dan melompat bersama sambil mendengar muzik.
Segala perbuatan itu juga dipraktikkan di rumah menjadikan daya pemikiran anak lebih kuat kerana mengingati apa yang dipelajari di kelas.
Bakhtiar pula berkata, walaupun sesi pembelajaran banyak menekankan konsep pembelajaran sambil bermain dan mendengar muzik, ia amat penting untuk membantu perkembangan anak kecil.
Mendengar muzik membuatkan anak kecil berasa seronok dan tidak sabar untuk melakukan sesuatu misalnya melukis, mewarna dan menulis.
“Saya menyukai konsep ini kerana membantu perkembangan pemikiran anak yang suatu ketika dulu seorang yang hiperaktif.
“Dia juga sudah pandai bercakap untuk meminta sesuatu, bukannya menarik rambut atau menangis. Jika anak mempunyai simptom sedemikian, dapatkan rawatan pakar kerana ia memberi perkembangan positif kepada tumbesaran mereka,” katanya.
Dulu tak pandai bergaul
Ibu dua anak, Siti Asmah Mohd Johar, 32, pula mengakui menghantar anak ke pusat perkembangan kanak-kanak amat penting kerana ia membantu perkembangan minda dan fizikal.
Sekiranya anak hanya menjalani latihan di rumah tanpa bergaul dengan orang luar, mereka akan menjadi lebih agresif dan tidak pandai berkawan.
Anak sulungnya, Muhammad Awatif Fadzil Azim, 4, dan adiknya, Faiqah Aqalili, 3, dulu langsung tidak pandai bergaul dan hanya berkawan sesama mereka.
“Jika berjumpa dengan rakan sebaya, anak sulung saya lebih suka memukul bukannya berkawan. Sikapnya itu amat merisaukan kerana suka menunjukkan reaksi tidak sepatutnya kepada kawan. Apabila bersama adiknya, dia juga kerap memukul.
“Dia juga tidak pandai berkomunikasi malah memberontak untuk mendapatkan sesuatu. Ini tentunya membimbangkan kami,” katanya.
Dia bersama suami, Fadzil Azim Hashim, 32, yang bekerja sebagai jurutera mencari beberapa tadika untuk menjalani sesi pembelajaran.
Namun, semua tadika tidak memenuhi apa yang diingini kerana hanya menekankan pembelajaran tanpa memberi keseronokan kepada kanak-kanak.
“Pada usia ini saya mahu anak menjalani pembelajaran di samping bermain kerana ia akan memberi keseronokan dan memudahkan mereka menyerap ilmu.
“Belajar sambil bermain adalah satu teknik sesuai kepada perkembangan anak kerana mereka menunjukkan perkembangan positif. Malah si kecil ini pandai melakukan pelbagai perkara di rumah misalnya basuh muka dan gosok gigi di waktu pagi.
“Sebelum ini semua perkara ini perlu dipaksa, namun selepas menjalani pembelajaran menyeronokkan mereka sendiri melakukannya,” katanya.
Siti Asmah berkata, jika mahukan yang terbaik kepada perkembangan anak, ibu bapa perlu melakukan perubahan misalnya menghantar anak ke sekolah pada usia muda supaya mereka dapat bergaul dengan orang ramai.
0 Comment to "DEDAH PERSEKITARAN YANG BETUL"
Catat Ulasan