5/02/18

GANGGUAN EMOSI ATAU MURUNG PERLU DIRAWAT DENGAN SEGERA


Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi seseorang individu semakin menurun. Ia mungkin menjejaskan kehidupan harian individu dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan kesejahteraannya.

Sedih dan kecewa itu lumrah. Namun, sekiranya ia berlarutan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti seharian, ia adalah satu masalah kesihatan.

Kemurungan menyebabkan seseorang menjadi antisosial kerana kurang keyakinan diri atau berasakan dirinya bersalah dalam segala hal.

Gejala kemurungan termasuk perubahan corak tidur sama ada terlebih atau terkurang, sering marah atau menangis, tidak bermaya, berat badan turun mendadak serta kurang daya tumpuan sehingga tidak dapat membuat keputusan yang mudah.

Dalam keadaan serius, seseorang individu yang mengalami kemurungan mungkin melakukan cubaan untuk cederakan diri sendiri dan membunuh diri.

Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia. Ini bermakna semakin ramai masyarakat dunia yang berpotensi untuk membunuh diri.

Pesakit kemurungan biasanya tidak mengaku dirinya murung. Oleh itu, peranan orang terdekat untuk menyedarkan mereka adalah sangat penting.

Jangan biarkan mereka bersendirian supaya tragedi yang tidak diingini dapat dielakkan. Bawa individu yang bermasalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Beberapa faktor kemurungan yang dikenal pasti adalah genetik, kecederaan otak akibat kemalangan, penggunaan dadah, masalah kewangan, kemerosotan kesihatan fizikal atau masalah sosial, mengalami peristiwa hidup yang tragis seperti kehilangan pasangan, pengambilan sesetengah jenis ubat dan sebagainya.

Keadaan ini mengubah fisiologi badan. Hormon serotonin, dopamin dan norepinefrin yang bertanggungjawab dalam mengawal perasaan di otak menjadi tidak seimbang lalu menyebabkan kemurungan. Berdasarkan faktor di atas, kemurungan sebenarnya boleh dibantu melalui rawatan ubat.

Ada pelbagai jenis ubat antikemurungan atau ubat psikotropik yang efektif serta selamat untuk digunakan. Secara amnya, ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan penyakit kemurungan bertindak mengawal ketidakseimbangan hormon yang terbabit.

Ubat-ubatan psikotropik biasanya dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit bergantung kepada jenis dan tahap kemurungan pesakit.

Apabila keseimbangan hormon ‘perasaan’ diperbetulkan, maka kemurungan akan dapat diatasi. Namun, penggunaan sesetengah ubat-ubatan ini mungkin memberi kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit.

Antaranya adalah kegemukan, loya, muntah, kembung perut dan kitaran haid yang tidak teratur. Bagaimanapun, keadaan pesakit mungkin lebih teruk sekiranya ubat tidak diambil berbanding kesan sampingan yang dialami.

Oleh itu, jika pesakit mengalami kesan sampingan ubatan yang diberi, maklumkan kepada doktor agar penukaran kepada ubat lain atau penggunaan ubat yang boleh mengatasi kesan sampingan itu dapat dilakukan. Teruskan pengambilan ubat seperti diarahkan oleh doktor.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, pendidikan psikologi dan pemulihan psikososial juga memainkan peranan yang penting dalam rawatan kemurungan.

Kemurungan juga sering dikaitkan dengan masalah spiritual menyebabkan kurang ketahanan mental. Rawatan alternatif seperti rawatan perubatan Islam sangat digalakkan di samping rawatan moden.

Ada beberapa tip bagi mengelakkan kemurungan sebelum melarat. Antara cadangan yang berkesan adalah melakukan sesuatu perkara yang sihat dan disukai seperti bersenam dan melukis.

Cara ini mampu meningkatkan perasaan gembira seterusnya dapat mengelak kemurungan. Di samping itu, meluahkan masalah yang dihadapi kepada seseorang yang dipercayai, contohnya ahli keluarga, kaunselor, doktor, pakar psikiatri atau pakar psikologi juga antara kaedah untuk mengekalkan kesihatan mental.

Pergaulan sosial yang sihat seperti berkomunikasi, sentiasa menghargai dan mempercayai orang lain, dapat menerima pendapat orang secara terbuka, serta memberi dan menerima kasih sayang juga mampu menangani masalah kemurungan.

Sokongan padu dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan untuk membina semula keyakinan diri.

Pantau orang terdekat atau diri anda sendiri, mungkinkah kita menghidapi masalah kemurungan? Segera dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi-5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Share this

0 Comment to "GANGGUAN EMOSI ATAU MURUNG PERLU DIRAWAT DENGAN SEGERA"

Catat Ulasan