Berkongsi makanan atau menyuap makanan yang sama dari mulut ke mulut mungkin kelihatan romantik bagi segelintir pasangan atau menunjukkan kasih sayang jika dilakukan bersama anggota keluarga atau rakan.
Tanpa disedari, tabiat itu sebenarnya boleh mendatangkan masalah kesihatan jangka panjang apabila makanan yang dinikmati bersama itu dicemari dengan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) daripada pembawa atau pesakit sendiri.
Bakteria H.pylori membiak dalam saluran pencernaan dan cenderung menyerang lapisan perut seterusnya menyebabkan jangkitan dalam perut atau bahagian pertama usus kecil. Bagi segelintir orang, ia tidak menyebabkan tanda-tanda atau gejala dan tidak membawa apa-apa komplikasi, namun bagi orang lain bakteria ini boleh membawa komplikasi serius seperti ulser serta kanser perut.
H.pylori sudah lama wujud dalam kalangan manusia sejak ribuan tahun dulu dan jangkitannya disebarkan menerusi mulut pembawa atau penghidap kepada individu lain. Ia juga dikatakan dipindahkan melalui najis tercemar ke mulut yang berlaku apabila seseorang tidak mencuci tangan selepas menggunakan tandas.
Bakteria turut tersebar daripada sentuhan dengan makanan atau minuman tercemar. Bakteria ini dipercayai menyebabkan masalah dalam perut apabila ia menembusi lapisan mukus perut dan menghasilkan sebatian yang meneutralkan asid perut. Ini membuatkan sel perut mudah rapuh terhadap asid yang keras.
Asid perut dan bakteria kemudian menyebabkan keradangan pada lapisan perut serta mengakibatkan luka atau ulser peptik (ulser gastrik) dalam perut atau duodenum iaitu bahagian pertama usus kecil. Malangnya, bakteria ini mampu beradaptasi dan membiak dalam persekitaran berasid dalam perut.
Ia juga boleh mengubah persekitarannya dan mengurangkan keasidan supaya bakteria boleh kekal hidup. Malah, bakteria ini boleh mempengaruhi tindak balas imun supaya tidak dimusnahkan dan keadaan ini menjadi punca kepada masalah dalam perut.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Perubatan Hospital Manipal, Dr Suresh Sithambaran berkata, H.pylori adalah bakteria paling kerap menjangkiti perut dan berada dalam lebih separuh populasi dunia terutama di kawasan penduduk padat seperti di India dan China.
“Bakteria ini biasanya sudah menjangkiti perut sejak kanak-kanak dan dikesan dalam usia sekitar 10 hingga 12 tahun sebelum kekal sehingga dewasa jika dibiarkan tanpa rawatan.
“Biasanya pada peringkat awal bakteria ini tidak berbahaya, tetapi lama-kelamaan menjadi punca kebanyakan ulser dalam perut dan usus kecil sebelum menjadi kanser perut.
“Beban penyakit akan meningkat apabila pada usia 20-an, bakteria yang menyebabkan radang merosakkan perut penghidap sedikit demi sedikit dan mengakibatkan sakit perut yang kerap. Lama-kelamaan lapisan perut akan menipis dan pada usia 40-an, penghidap mendapat ulser sehingga seterusnya kanser perut pada usia antara 50 hingga 60-an.
“Kanak-kanak paling mudah mendapat jangkitan H.pylori dan mereka berisiko tinggi disebabkan amalan kebersihan yang kurang. Bagaimanapun, risiko jangkitan mengikut persekitaran dan keadaan tempat tinggal.
“Risiko jangkitan lebih tinggi di negara membangun, berkongsi kediaman bersama individu dijangkiti yang lazimnya ahli keluarga, menghuni perumahan yang sesak dan tiada akses kepada air bersih,” katanya.
Dr Suresh berkata, beberapa ujian boleh dilakukan untuk mendiagnosis jangkitan H. Pylori termasuk soal selidik sejarah perubatan dan latar belakang keluarga terutama jika ada penyakit tertentu serta mengambil ubatan khas.
“Pesakit akan diminta menjalani ujian untuk mengenal pasti jangkitan seperti mengambil sampel tisu pada lapisan perut menerusi kaedah endoskop dan tisu terbabit akan diperiksa di bawah mikroskop bagi menguji enzim urease yang dikeluarkan oleh H. Pylori.
“Selain itu, pesakit juga boleh menjalani ujian nafas urea iaitu menghembus nafas ke dalam beg khas yang kemudiannya dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi membaca tahap karbon dalam sampel nafas berkenaan untuk mengenal pasti kehadiran bakteria.
“Ujian darah turut boleh digunakan untuk mengukur antibodi H.pylori tetapi ujian ini hanya memberitahu jika pesakit mempunyai antibodi H.pylori sebaliknya tidak memberitahu jika pesakit mempunyai jangkitan yang aktif atau tidak. Ujian darah juga tidak boleh digunakan untuk melihat sama ada jangkitan sembuh selepas rawatan,” katanya.
Katanya, jangkitan H.pylori boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat antibiotik yang perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu atau kombinasi bersama ubat kurangkan asid dalam perut yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan antibiotik, di samping mengurangkan gejala dan menggalakkan penyembuhan.
“Selepas dua bulan rawatan, pesakit akan diminta menjalani ujian susulan untuk mengesan kehadiran bakteria terbabit. Bagaimanapun, peluang untuk bakteria ini menjangkiti semula adalah amat tipis.
“Mereka yang kerap mengalami sakit perut dan masalah itu masih tidak selesai walaupun berulang-kali mendapatkan rawatan digalakkan melakukan ujian mengesan H.Pylori. Setiap bulan kira-kira 50 peratus pesakit saya mendapatkan rawatan sakit dalam perut didapati mempunyai jangkitan bakteria ini,” katanya.
Beliau berkata, selain jangkitan bakteria mereka yang mengalami perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit-birit berpanjangan, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut digalak melakukan pemeriksaan pada usus atau ujian kolonoskopi.
“Ini kerana, ada kemungkinan tanda-tanda terbabit menunjukkan pesakit mengalami kanser yang menyerang usus besar terdiri kolon, rektum dan anus. Kolonoskopi adalah ujian untuk memeriksa usus besar dan sebahagian daripada usus kecil menggunakan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera serta dimasukkan melalui dubur pesakit.
“Selain untuk mengenal pasti penyakit membabitkan usus besar dan usus kecil, ia juga boleh digunakan untuk rawatan seperti pembuangan polip atau pengambilan sampel bagi mendiagnosis penyakit lain.
“Bagaimanapun, ujian kolonoskopi digalak dilakukan oleh individu berisiko tinggi iaitu mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser usus, penyakit hati berlemak, diabetes dan kuat merokok atau individu tidak mempunyai faktor risiko tetapi mencapai usia 50 tahun,” katanya.
Katanya, sesiapa saja pelbagai peringkat usia boleh menjalani ujian kolonoskopi walaupun tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan berkaitan perut berikutan ada kanser tidak menimbulkan gejala di peringkat awal, sebaliknya ketika penyakit sudah berada di tahap tiga atau empat.
“Kanser usus biasanya berasal daripada ketumbuhan kecil pada permukaan usus dinamakan polip. Jika kanser usus dapat dikesan awal, rawatan segera seperti pembedahan membuang ketumbuhan itu atau bahagian usus yang terjejas boleh dijalankan dan pesakit tidak perlu menjalani kemoterapi.
“Kos bagi merawat kanser usus sangat tinggi berbanding kos menjalani ujian kolonoskopi. Oleh itu, pemeriksaan awal sangat digalakkan bagi mengelakkan penyakit melarat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Hospital Manipal, Shoba Subas Chandra berkata, mereka yang sering mengalami kesakitan bahagian abdomen yang berlanjutan sehingga berbulan-bulan lamanya dan tidak pulih walaupun sudah menemui doktor termasuk diketahui mengalami penyakit berkaitan perut, usus kecil, usus besar, hati dan pankreas adalah digalakkan menjalani pemeriksaan saluran gastrousus.
“Mengesan masalah penghadaman di peringkat awal sangat penting disebabkan banyak tanda-tanda mungkin menunjukkan lebih serius. Pemeriksaan kaedah paling berkesan. Misalnya, kanser kolon boleh dicegah jika dikesan awal.
“Malah, pemeriksaan membolehkan doktor merawat atau mencegah penyakit yang boleh melarat sehingga mengancam nyawa. Ujian endoskopi seperti gastroskopi dan kolonoskopi membolehkan doktor mengesan sebarang keadaan tidak normal dalam perut, duodenum, esofagus dan kolon atau rektum.
“Doktor juga akan melihat ke dalam salur penghadaman untuk diagnosis ulser, polip dan kanser. Tiub gastroskopi akan dimasukkan ke dalam tekak, manakala tiub kolonoskopi dimasukkan melalui rektum untuk melihat usus besar,” katanya mengenai pakej ujian pemeriksaan pada saluran gastrousus yang dilancarkan hospital berkenaan, baru-baru ini.
Katanya, individu yang tidak mempunyai faktor risiko patut menjalani pemeriksaan untuk mengesan gangguan dan penyakit penghadaman bermula usia 50 tahun. Namun, mereka yang mempunyai faktor risiko patut mula menjalani pemeriksaan pada usia lebih awal.
“Temu janji boleh dilakukan dengan mengunjungi hospital atau melayari laman web untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai pemeriksaan berkenaan. Doktor akan mengesyorkan kaedah ujian terbaik selepas menilai sejarah kesihatan dan faktor risiko,” katanya.
Tanda-tanda jangkitan H.pylori
• Loya
• Muntah
• Kembung perut
• Sendawa yang kerap
• Berat badan susut mendadak
• Tidak berselera makan
• Nafas berbau busuk
• Sakit abdomen
Komplikasi jangkitan
• Ulser peptik
• Pendarahan dalaman apabila ulser peptik pecah
• Penyumbatan dalam perut
• Dinding perut bocor
• Jangkitan peritoneum
• Faktor risiko kanser perut
0 Comment to "JANGKITAN BAKTERIA (MULUT) H.PYLORI BOLEH JADI LEBIH SERIUS"
Catat Ulasan