20/06/16

AMAL PEMAKANAN SIHAT KETIKA DI BULAN RAMADAN


Kunci amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun pada bulan puasa. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman atau sup.

Berbuka puasa

Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas dahulu sebaik sahaja berbuka puasa.

Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan pada sistem penghadaman. Mengikut sunah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Contoh makanan berbuka puasa yang baik adalah seperti berikut:

• Berbuka dengan 3 biji buah kurma, 1/2 cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau 1/2 cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.

• Makan malam 1 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.

• Makan lewat malam (moreh) snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.

• Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan untuk berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan pada perut pada siang hari.

Sahur

Amalan bersahur adalah penting ketika berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan. Ketika bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.

Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil adalah seperti berikut: 1/2 cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, 1/2 cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan 1/2 gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong.

Share this

0 Comment to "AMAL PEMAKANAN SIHAT KETIKA DI BULAN RAMADAN"

Catat Ulasan