18/07/14

ANUGERAH ANAK ISTIMEWA


Memiliki anak istimewa ternyata anugerah terindah buat dirinya dan suami apabila anak itulah pengikat kasih sayang hubungan mereka selain dua yang lain.

Anak kecil berusia hampir lima tahun itu kelihatan seperti masih bayi berusia dua tahun kerana perkembangan mental dan fizikalnya lambat sedikit daripada kanak-kanak normal. 

Namun sebagai ibu, Rohani Ariffin, 38, bersyukur dengan kurniaan Tuhan itu kerana menjadikan keluarganya begitu rapat selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada kesibukan menguruskan perniagaan. 

Sebelum ini dia terlalu sibuk dan kekurangan masa untuk memberi sepenuh perhatian kepada tiga anak terutama anak bongsu, Muhammad Nasrullah Nazarul yang mengalami masalah ‘global development delayed’ (GDD) iaitu kanak-kanak yang mempunyai perkembangan akal, minda dan tumbesaran tubuh yang tidak seiring dengan usia.

Walaupun tumbesaran anaknya agak lambat, dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia cuba berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian dengan membawa anaknya itu menjalani pelbagai terapi sama ada di hospital mahupun pusat asuhan swasta yang menawarkan pakej pembelajaran sesuai untuk anak istimewa berkenaan.

Menurut Rohani, masalah yang dialami anaknya itu disedari sejak awal iaitu ketika enam bulan di dalam kandungan. 

“Ketika menjalani pemeriksaan kandungan setiap bulan, saya membuat ujian imbasan kerana mahu tahu perkembangan bayi. 

“Pada usia kandungan mencecah enam bulan, pakar perubatan memaklumkan anak saya mengalami sedikit masalah kerana pergerakannya yang agak lambat dan tidak aktif seperti dua abangnya. 

“Saya juga dapat merasainya kerana pergerakannya tidak sama dengan kandungan sebelum ini dan hanya berdoa supaya masalah itu selesai,” katanya. 

Pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan itu, namun bersyukur kerana apabila dilahirkan, anaknya dalam keadaan sihat walaupun tidak normal seperti orang lain. 

Dia mula memasang tekad untuk menyediakan rawatan rapi kepada bayi kecilnya itu, malah tidak jemu membawanya berjumpa pakar sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. 

Walaupun terpaksa menghabiskan wang ribuan ringgit, dia berpuas hati kerana dapat memberikan yang terbaik kepada anaknya demi masa depannya. 

Sebagai ibu bapa, dia berusaha sedaya mungkin untuk memberi semuanya kepada anak demi perkembangan fizikal, mental dan minda yang sihat. Dalam usia tiga tahun, anaknya itu baru pandai berjalan selepas menjalani pelbagai terapi. 

“Ketika berumur setahun, anak saya menjalani pembedahan membetulkan kedua-dua kaki yang membengkok di negara jiran dengan menelan belanja ribuan ringgit. 

“Saya terpaksa mendapatkan khidmat perubatan di negara jiran dengan mengeluarkan belanja sendiri kerana mahu dia membesar secara normal dan dapat berjalan seperti orang lain. 

“Walaupun berjalan pada usia tiga tahun, ia amat menggembirakan kerana sekurang-kurangnya anak boleh berdikari apabila dia besar nanti,” katanya sambil menambah, anaknya juga menjalani pembedahan lidah untuk memudahkan pertuturan. 

Menerusi pelbagai terapi, anaknya juga menunjukkan perkembangan positif apabila boleh memanggil ibu dan ayah pada usia sebegini. Ia tentunya memberi kepuasan kerana pengorbanan suami isteri ini yang menghabiskan banyak masa dengan menjalani pelbagai rawatan amat berbaloi. 

Dia akui anaknya itu juga mudah menerima arahan walaupun dirinya kekurangan dari segi tumbesaran fizikal dan mental. 

“Walaupun anak saya sudah berusia lima tahun, fizikal dan mentalnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Segala perbuatan umpama seorang bayi kerana hanya mampu menyebut beberapa perkataan mudah dan baru pandai mengikut arahan yang diberikan,” katanya yang reda dengan kurniaan itu. 

Rohani berkata, anak anugerah yang perlu dididik dengan sempurna supaya menjadi insan berguna demi masa depan yang cerah. 

“Kami sanggup berkorban apa saja, asalkan anak kami ini dapat membesar dengan baik dan menjalani kehidupan normal pada masa depan. 

“Jika saya tidak berbuat demikian, mungkin kami yang menyesal kelak kerana tidak berusaha menyembuhkan anak sedangkan pelbagai kaedah ada di depan mata,” katanya.

Share this

0 Comment to "ANUGERAH ANAK ISTIMEWA"

Catat Ulasan