21/01/22

KHASIAT BUAH AVOCADO YANG KITA TIDAK TAHU



AVOCADO sudah menjadi buah-buahan yang mesti ada di rumah bagi mereka sedang diet.

Ia menjadi menjadi pelengkap dalam hidangan sarapan yang dimakan bersama roti bakar, salad atau dijadikan jus minuman.

Avokado atau nama saintifiknya 'Persea Americana' boleh diolah dalam pasta dan makan lain mengikut kreativiti mereka yang mengamalkan 'eat clean'.

Buah ini boleh digelar sebagai makanan unggul kerana kandungan nutrisi tinggi yang dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh.


1.Sumber nutrien sangat baik

Untuk satu hidangan 201 gram avocado mengandungi:

Kalori: 322

Lemak: 30 gram (g)

Protein: 4g

Karbohidrat: 17g

Serat: 14g

Vitamin C: 22 peratus daripada keperluan nilai harian (DV)

Vitamin E: 28 peratus daripada DV

Vitamin K: 35 peratus daripada DV

Roboflavin (B2): 20 peratus daripada DV

Niasin (B3): 22 peratus daripada DV

Asid pantothenik (B5): 56 peratus daripada DV

'Pyridoxine' (B6): 30 peratus daripada DV

Folat: 41 peratus daripada DV

Magnesium: 14 peratus daripada DV

Potasium: 21 peratus daripada DV

Tembaga: 42 peratus daripada DV

Nutrien yang tinggi ini menjadi pelengkap kepada mereka yang sering kekurangan nutrien semasa berdiet termasuk magnesium, B6, vitamin C, vitamin E dan folat.

Kajian terhadap 4,730 individu dewasa di Amerika Syarikat mendapati kurang tiga peratus individu mengambil zat kalium lebih banyak daripada jumlah ditetapkan iaitu 4,700 miligram (mg) sehari.

Kalium diperlukan untuk beberapa fungsi badan yang kritikal termasuk tekanan darah dan fungsi sistem saraf.

Mengambil jumlah kalium yang disarankan setiap hari boleh membantu melindungi diri daripada tekanan darah tinggi dan angin ahmar.

Avocado juga mempunyai nutrien penting untuk kesihatan sistem imun termasuk vitamin C, B6 dan E.

2. Bermanfaat untuk kesihatan usus

Avokado mengandungi serat yang tinggi iaitu kira-kira 14 gram dalam setiap biji.

Ia melengkapkan hampir separuh daripada keperluan DV semasa untuk nutrien penting ini.

Sangat penting mendapatkan serat mencukupi dalam diet harian untuk penjagaan kesihatan sistem pencernaan kerana ia membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus.

Satu kajian ke atas 163 individu dewasa yang dianggap mempunyai berat badan berlebihan mendapati, mengambil 175 gram (lelaki) atau 140 gram (wanita) buah avocado setiap hari selama 12 minggu, mempunyai kepekatan asid hempedu najis lebih rendah dan meningkatkan kepelbagaian bakteria.

Kepekatan asid hempedu yang tinggi boleh menyebabkan keradangan usus dan mempunyai kaitan dengan pertumbuhan mikrob dikaitkan dengan masalah kesihatan negatif seperti barah usus besar.

3. Membantu mengurangkan risiko penyakit jantung

Pengambilan makanan tinggi nutrisi seperti avocado secara kerap boleh membantu melindungi jantung.

Vitamin, mineral, lemak sihat dan serat yang terdapat dalam buah ini, memainkan peranan dalam memastikan sistem kardiovaskular sihat.

Penemuan kajian mendapati, diet yang lengkap dengan buah avocado boleh membantu mencegah penyakit jantung.

Buah avocado juga membantu meningkatkan paras kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik dan mengurangkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang dikaitkan dengan pembentukan plak di sepanjang dinding arteri.

4. Diperkaya sebatian antioksidan dan antikeradangan

Selain vitamin, mineral, lemak sihat dan serat, avocado sarat dengan sebatian bioaktif termasuk karotenoid, vitamin C, vitamin E dan sebatian fenolik.

Bahan ini terbukti mempunyai aktiviti antioksidan, 'neuroprotective' dan 'cardioprotective' yang ketara.

Contoh, karotenoid yang ada dalam avocado termasuk lutein,

ɑ-karotena, dan β-karotena terbukti mempunyai kesan antioksidan kuat, melindungi daripada kerosakan oksidatif, dikaitkan dengan perkembangan banyak penyakit kronik.

Makan avocado dengan kerap boleh juga membantu meningkatkan pertahanan antioksidan badan.

5. Membantu menggalakkan berat badan yang sihat

Walaupun avocado tinggi kalori, tetapi ia penuh dengan nutrien dan membantu membuatkan rasa kenyang disebabkan kandungan serat yang tinggi dan lemak sihat.

Penyelidikan menunjukkan corak pemakanan yang tinggi makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, boleh membantu penurunan berat badan.

Selain itu, orang yang makan lebih banyak serat cenderung mengekalkan berat badan lebih sihat berbanding mereka mengikuti diet rendah serat.

Oleh itu, avocado adalah pilihan makan yang tepat bagi mereka yang menurunkan berat badan atau mengekalkan berat badan.

6. Pilihan bijak semasa mengandung dan menyusu

Keperluan nutrien meningkat dengan ketara semasa hamil dan menyusukan bayi.

Contoh, semasa hamil, keperluan folat meningkat daripada 400 miligram (mg) kepada 600mg.

Keperluan kalium pula meningkat daripada 2,600mg kepada 2,900mg.

Vitamin C pula meningkat kepada 85mg daripada 75mg.

Keperluan folat meningkat dengan ketara semasa hamil. Malangnya, ramai wanita hamil di seluruh dunia kekurangan pengambilan folat disyorkan dan ia boleh meningkatkan risiko komplikasi kehamilan.

Satu biji avokado memberikan 27 peratus daripada pengambilan folat yang disyorkan semasa kehamilan.

Makan avocado juga boleh membantu mencapai tahap pengambilan disyorkan untuk nutrien diperlukan dalam jumlah yang lebih besar dalam tempoh berkenaan seperti vitamin C, kalium serta B6.

Selain itu, kandungan tinggi serta avocado boleh membantu mencegah sembelit, yang sangat biasa dialami wanita semasa hamil.

15/04/21

ALAHAN PADA KULIT KERANA CECAIR PENCUCI BAJU YANG TIDAK SESUAI??

"Saya sudah mengubah diet dengan mengamalkan pemakanan seimbang selain beralih kepada produk mandian dan penjagaan kulit yang lebih lembut.

"Namun, masalah kegatalan kulit masih tidak hilang, bahkan ruam kemerahan akan muncul di bahagian ketiak dan pinggang setiap kali selepas menggunakan produk ini," kata Fara Razak, 30.

Fara menderita masalah kulit sejak berusia 15 tahun dan buntu dengan masalah terbabit.

Katanya, masalah kulit dialami ada kala mengganggu rutin hariannya.

"Keadaan kulit saya menjadi lebih teruk ketika cuaca panas kerana berpeluh menyebabkan badan mudah gatal dan bintik kemerahan timbul pada kulit.

"Sebagai alternatif, saya menyapu ubat bagi meredakan kegatalan. Bagaimanapun, ia hanya sementara dan rasa gatal akan berulang lagi.

"Ada kalanya saya tidak dapat mengelak daripada menggaru bahagian yang gatal hingga terluka," katanya.

Pakar Penjagaan Kulit Ko Skin Specialist, Dr Chong Wai Seng berkata, masalah dialami Fara berkemungkinan kerana alahan kepada pencuci pakaian.

Dr Chong berkata, pendedahan kepada bahan tidak sesuai dengan kulit iaitu alergen yang terdapat dalam pencuci pakaian boleh mencetuskan alahan.

"Mungkin sisa bahan alergen ini masih tertinggal pada pakaian walaupun sudah dibilas.

"Alahan terhadap bahan pencuci pakaian boleh terjadi ketika kali pertama atau pendedahan berulang kali terhadap alergen ini," katanya.

Menurutnya, antara bahan perengsa lain yang terkandung dalam produk pencuci pakaian ialah sodium lauryal sulfat (SLS), paraben, triclosan dan metilisotiazolinon.

Jelas Dr Chong, bahan itu adalah surfaktan (bahan aktif permukaan menghasilkan buih) yang biasanya ditemui dalam produk pencuci pakaian.

"Sisa bahan ini masih terperangkap dalam pakaian mungkin boleh menyebabkan ruam kepada individu mempunyai masalah kulit sensitif.

"Terutama mereka yang mempunyai sejarah dermatitis atopik (sejenis ekzema) atau lapisan permukaan kulit terjejas disebabkan kerap mencuci tangan dan tabiat mandi ketika penularan pandemik Covid-19," katanya.

Dr Chong berkata, sebagai langkah pencegahan awal, mereka perlu meneliti kandungan bahan di dalam pencuci pakaian dan beralih kepada jenis yang mesra kulit.

"Bilas pakaian hingga bersih bagi memastikan tiada bahan perengsa yang tertinggal pada pakaian," katanya.

Sementara itu pengasas Oxwhite, CK Chang berkata, produk pencuci pakaian menggunakan bahan lebih mesra kulit boleh dihasilkan, tetapi kosnya 10 kali ganda lebih tinggi berbanding produk biasa dalam pasaran.

"Secara tidak langsung, ia akan mempengaruhi harga produk berkenaan yang menjadi lebih mahal.

"SLS adalah bahan kimia berkesan menghapuskan kotoran degil seperti kesan tanah dan minyak yang melekat pada pakaian," katanya.

Menurutnya, paraben dan metilisotiazolinon adalah bahan pengawet untuk mencegah pertumbuhan mikroorganisma bagi memanjangkan jangka hayat produk manakala triclosan berfungsi sebagai pembasmi kuman.

"Pendedahan bahan ini secara berlebihan akan memberi kesan buruk kepada lapisan permukaan kulit.

"Dalam menghasilkan pencuci pakaian yang lebih lembut dan mesra kulit, amat penting untuk memastikan bahan alternatif digunakan, mempunyai kesan pembersihan sama bagus seperti bahan konvensional berasaskan kimia," katanya.

Kata Chang, Oxwhite mengambil inisiatif menghasilkan produk berasaskan tumbuhan yang dipercayai lebih lembut seperti 'decyl glucoside' (surfaktan semulajadi), minyak pokok teh (disinfektan semulajadi) dan Sodium Benzoate (pengawet semula jadi) sejak daripada awal penghasilan.

"Walaupun kos pengeluarannya tinggi, kami berjaya meletakkan harganya hampir sama dengan pencuci pakaian lain yang terdapat di pasaran dan menjual bahan pencuci di atas talian," katanya.

MASYARAKAT DI MALAYSIA MASIH TAKUT DENGAN VAKSIN??

PROGRAM vaksinasi Covid-19 sudah bermula pada 24 Februari lalu, tetapi salah faham masyarakat terhadap vaksinasi masih mendalam.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menangkis salah faham itu.

Pada Disember lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan satu kaji selidik untuk mengetahui tahap kesediaan rakyat negara ini dalam pengambilan vaksin berkenaan.

Hasil kaji selidik mendapati hanya 67 peratus individu bersedia mengambil suntikan vaksin.

Selebihnya iaitu 17 peratus berasa ragu-ragu manakala 16 peratus lagi tidak setuju.

Daripada pecahan 17 peratus (berasa ragu-ragu ini), 70 peratus adalah mereka yang berasakan vaksin itu tidak selamat.

Exco Perancangan Strategik, Kempen Vaksinasi, Medical Mythbusters Malaysia, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata, persepsi yang salah berkaitan vaksin sudah lama wujud, sebelum adanya media sosial.

"Bagaimanapun, senario ini lebih ketara selepas kemunculan platform ini.

"Contoh, sebelum penularan pandemik Covid-19. Pada 2013, bilangan individu yang menolak suntikan vaksin untuk anak meningkat.

"Tindakan ini menyumbang kepada peningkatan sembilan kali ganda kes demam campak yang mencatatkan 1,900 kes pada 2018 berbanding 195 kes pada 2013," katanya.

Menurut Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, peningkatan itu seiring peningkatan golongan yang menyebarkan salah faham berkaitan vaksin deman campak.

Beliau berkata, terdapat lima faktor yang menjadi penyebab salah faham masyarakat terhadap vaksinasi Covid-19.

"Pertama, disebabkan maklumat tidak terkawal di media sosial. Banyak perdebatan yang tidak tepat mengenai vaksin ini di platform berkenaan dan media cetak.

"Bahkan ada dalam kalangan rakan kita yang turut ragu-ragu terhadap vaksin ini.

"Kerajaan sukar hendak mengawal perkara ini (maklumat tidak terkawal) kerana platform seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram dan Telegram membabitkan pihak ketiga.

"Melainkan ada peraturan khusus dalam undang-undang seperti Akta Antiberita Tidak Benar, barulah tindakan boleh diambil," katanya.

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar berkata, faktor kedua ialah wujudnya golongan antivaksin dan mereka tidak sama dengan individu yang menolak vaksin.

"Kita kena tahu orang yang menolak, ragu-ragu dan antivaksin ini tergolong dalam satu kumpulan dipanggil individu yang ragu-ragu terhadap vaksin.

"Ia berbeza orang yang ragu-ragu dengan kumpulan yang bersungguh-sungguh menghasut dan menolak vaksin.

"Berdasarkan kajian, kelompok yang menghasut dan menolak vaksin ini adalah kecil iaitu kurang daripada lima peratus. Bagaimanapun, mereka sangat lantang dalam menyatakan pendirian menolak vaksin Covid-19," katanya.

Kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggelarkan mereka sebagai penolak vaksin yang lantang kerana berpotensi menghasut golongan atas pagar (golongan 17 peratus) untuk bertukar kepada individu menolak vaksin.

"Golongan antivaksin suka memberikan komen yang boleh menimbulkan keraguan kepada masyarakat di laman web yang popular seperti KKM," katanya.

Jelasnya, faktor seterusnya ialah kurangnya literasi sains dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Dalam keadaan ini, kita tidak boleh menyalahkan masyarakat sepenuhnya, tetapi berkemungkinan disebabkan oleh sistem pendidikan di Malaysia yang kurang mesra sains.

"Ini menyebabkan masyarakat lebih mudah percaya kepada perkara yang berasaskan testimoni dan berkaitan konspirasi," katanya.

Selain itu, kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, kepercayaan ini tidak hanya membabitkan isu vaksin, tetapi mereka turut mudah percaya kepada produk kecantikan dan yang tiada data saintifik.

"Faktor keempat ialah rakyat kurang yakin kepada kerajaan disebabkan kemelut politik yang melanda negara dan ini mendorong salah faham menjadi lebih teruk.

"Faktor terakhir ialah timbul isu halal dan haram terhadap vaksin ini. Sekian lama kita dimomokkan dengan satu konspirasi mengatakan ia antara cara orang Yahudi mahu menghancurkan umat Islam adalah menerusi vaksinisasi.

"Agak keterlaluan juga ada yang mendakwa pandemik ini sudah dirancang dan vaksin adalah antara cara untuk mengawal umat Islam," katanya.

Jelasnya, apabila lima punca ini tidak dikawal, sukar untuk menangani isu berkenaan dan usaha mengawal pandemik turut gagal.

Sementara itu, Penyelidik Komunikasi Vaksin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Helmi Yusoh berkata, isu vaksin perlu disentuh secara menyeluruh.

"Persepsi masyarakat terhadap pandemik ini akan mempengaruhi tanggapan mereka terhadap isu vaksin.

"Kita melihat betapa sistematiknya kerajaan dalam menguruskan isu vaksin.

"Semua maklumat dikongsikan kepada masyarakat termasuk bahan yang terkandung dalam vaksin dan pandangan pakar mengenai vaksinasi," katanya.

Kata Dr Helmi, platform media elektronik turut digunakan untuk penyampaian berita dan pesanan khidmat masyarakat.

"Ketibaan vaksin dari luar negara dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terima suntikan vaksin juga disiarkan dalam televisyen. Ini menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap program vaksinasi," katanya.

17/08/20

RAMAI KELIRU TENTANG JENIS PELITUP MUKA YANG SESUAI

Selain pemakaian pelitup muka tiga lapis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menggalakkan individu sihat memakai pelitup muka fabrik.

Sebaik-baiknya memilih pelitup muka yang dibuat menggunakan fabrik kalis air di bahagian luar, penapis (di tengah) dan fabrik serap air (di dalam).

Kajian menunjukkan keupayaan pelitup muka fabrik untuk menghalang virus berbeza berdasarkan jenis fabrik.

Bukti keberkesanan pelitup muka fabrik

Saranan pemakaian pelitup muka dapat membantu menghalang cecair pernafasan orang dijangkiti virus Covid-19 daripada tersebar ke udara dan orang sekeliling ketika batuk, bersin, bercakap serta meninggikan suara.

Hasil kajian klinikal dan makmal membuktikan penggunaan pelitup muka dapat mengurangkan percikan cecair pernafasan dengan menutup bahagian mulut dan hidung menggunakan pelitup muka.

Virus Covid-19 boleh merebak kepada individu lain pada jarak kedudukan sangat rapat iaitu kurang daripada 1.8 meter.

Oleh itu, penggunaan pelitup muka fabrik adalah sangat penting apabila berada dalam keadaan sesak dan tidak dapat melakukan penjarakan fizikal.

Individu sesuai memakai pelitup muka fabrik

Individu berusia dua tahun ke atas boleh memakai pelitup muka fabrik apabila berada di tempat awam dan ketika bertemu orang lain yang tidak tinggal serumah, terutama jika tiada penjarakan fizikal.

Covid-19 boleh tersebar daripada individu tak bergejala dan individu yang tidak mengetahui mereka dijangkiti.

Terdapat dua golongan yang tidak sesuai memakai pelitup muka fabrik, sebaliknya perlu menggunakan pelitup muka pakai buang tiga lapis:

i. Individu yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19

ii. Jika anda berkemungkinan dijangkiti (dalam tempoh kuarantin), jangan ke tempat awam

iii. Individu yang menjaga pesakit Covid-19


Individu tidak dibenarkan memakai pelitup muka fabrik?

i. Kanak-kanak berusia kurang dua tahun

ii. Individu mempunyai masalah pernafasan

iii. Individu tak sedarkan diri dan tidak upaya membuang sendiri

iv. Pelitup muka tanpa bantuan

PELITUP muka pakai buang tiga lapis boleh dipakai sehingga lapan jam atau sepanjang waktu bekerja atau bersekolah.

Penyesuaian memakai pelitup muka

Pelitup muka fabrik mungkin tidak sesuai dipakai oleh semua orang pada setiap masa. Ini kerana dalam keadaan tertentu, pemakaian pelitup muka fabrik boleh menyebabkan masalah pernafasan, ketidakselesaan dan sebagainya.

Antara contoh penyesuaian yang boleh dilakukan

i. Pelajar

Berkemungkinan menghadapi masalah memakai pelitup muka dalam tempoh yang panjang semasa di sekolah.

Ibu bapa perlu memastikan anak mereka memakai pelitup muka mengikut saiz bersesuaian.

ii. Berenang

Aktiviti berenang menyebabkan pelitup muka fabrik basah yang boleh menyukarkan pernafasan.

iii. Bersukan

Pemakaian pelitup muka semasa berjoging boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

Pelitup muka pakai buang tiga lapis

WHO mewajibkan pemakaian pelitup muka pakai buang tiga lapis kepada individu yang berkemungkinan mempunyai gejala Covid-19 dan golongan berisiko seperti:

i. Umur lebih 60 tahun

ii. Pesakit kencing manis

iii.Pesakit paru-paru kronik

iv.Pesakit barah

v. Pesakit angin ahmar

vi.Pesakit berimuniti rendah seperti HIV dan menjalani rawatan kemoterapi

Amalan berbahaya memakai pelitup muka pakai buang tiga lapis

Antara amalan yang dipraktikkan sebilangan masyarakat sebenarnya amat berbahaya kerana pelitup muka yang dipakai adalah kotor dan berkemungkinan dicemari virus Covid-19.

i.Memakai pelitup muka pakai buang berhari-hari sehingga rosak atau koyak

ii. Mengutip pelitup muka yang dibuang untuk dijual atau dipakai sendiri

iii.Berkongsi pelitup muka

Pelitup muka pakai buang tiga lapis boleh dipakai sehingga lapan jam atau sepanjang waktu bekerja atau bersekolah.

Ia tidak boleh dibasuh atau dipakai semula walaupun keadaannya masih elok. Pengguna dinasihatkan memutuskan satu tali pengikat sekiranya hendak membuang pelitup muka.

Ini untuk memastikan pelitup muka yang dibuang tidak diguna semula atau dijual oleh pihak tak bertanggungjawab.

Disediakan oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dan Dr Wan Shahida Wan Sulaiman Pakar Mikrobiologi Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia.

24/01/20

KORONAVIRUS AMAT MUDAH MEREBAK MELALUI..


Wabak koronavirus mudah merebak melalui batuk dan selesema serta boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Pakar Perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, dua virus korona yang dikenal pasti berbahaya iaitu MERS-CoV (Middle East Respiratory Sydrome) dan SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome) akan menyebabkan masalah pernafasan yang teruk.

“Pesakit akan mengalami demam panas secara mendadak dalam tempoh 10 hari setelah mengunjungi kawasan atau negara yang mempunyai jangkitan SARS.

“Mereka juga akan mengalami satu atau lebih masalah pernafasan seperti batuk, sesak atau sukar bernafas. Tanda dan gejala SARS yang lain adalah sakit tekak, sakit otot dan sakit kepala,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, virus berkenaan boleh tersebar melalui pengudaraan dan jika sekiranya seseorang individu terkena titisan cecair dari hidung atau mulut mereka yang dijangkiti koronavirus.

“Jangkitan boleh merebak dengan cepat terutama kepada golongan berisiko iaitu mereka yang mempunyai masalah pernafasan (kardio respiratory) seperti penghidap asma, mereka yang mempunyai masalah kegagalan jantung dan daya tahan penyakit.

"Contohnya pesakit diabetes dan kanser, wanita hamil, warga emas berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga perlu mengelakkan untuk berada di kawasan yang sesak serta kawasan mempunyai rangkaian jangkitan.

“Mereka juga perlu mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat menggunakan air serta sabun selain meningkatkan daya ketahanan dengan menjaga pemakanan dan banyakkan minum air kosong untuk mengurangkan dehidrasi serta tidur yang secukupnya,” katanya.

5/12/18

AWAS JIKA ANDA ADA GEJALA MENGANTUK


Pada awalnya rungutan seorang kenalan mengenai sering mengantuk dilihat cuma gejala biasa. Katanya, rasa mengantuk pada waktu siang mungkin lebih berupakan ‘penanda’ semula jadi terhadap faktor diri yang keletihan disebabkan tuntutan harian yang padat.

Namun, apabila gejala mengantuk itu semakin ketara dan kerap daripada biasa, masalah itu mula menjejaskan rutin harian termasuk mengganggu penumpuan lebih-lebih lagi ketika bekerja dan memandu.

Sedangkan dia tidak pernah menghadapi masalah gangguan tidur kerana dia menikmati waktu tidur berkualiti iaitu tujuh hingga lapan jam. Adakah masalah mengantuk dihadapinya itu gejala penyakit lain?

Sebenarnya, secara alami, adalah normal andai seseorang individu terasa mengantuk selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Umumnya kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian. Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.

Malah berkenaan peranan hormon, antaranya pengkaji menemui rasa mengantuk berpunca daripada kompaun kimia bernama edenosin yang wujud dalam otak bertindak balas dengan reseptor otak.

Selain itu, kitaran tidur dipengaruhi ‘jam tubuh’ yang juga dikenali sebagai ritma sirkadian iaitu proses fisiologi berlaku dalam tubuh membolehkan badan bertindak balas dengan persekitaran seperti waktu tidur, makan dan aktif.

Jam tubuh ini yang sensitif dengan perubahan persekitaran seperti cahaya matahari dan suhu, membantu dalam menentukan sama ada waktu untuk berjaga pada waktu siang atau tidur ketika malam.

Namun, dalam masalah dihadapi kenalan tadi, Pakar Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, menyarankan pesakit menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

Menurut beliau, mengantuk luar biasa bukan semata-mata gangguan tidur seperti dihadapi kebanyakan pesakit kecelaruan tidur ritma sirkadian tetapi boleh menjadi petanda penyakit lebih serius.

“Mengantuk mempunyai gejala mirip bagi simptom penyakit lain yang mungkin menyerupai gejala disebabkan gangguan tidur. Gangguan tidur juga ada pelbagai jenis dan merujuk pada keadaan dialami pesakit.

“Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.

“Maka, sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu adakah disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.

“Tidak saja merujuk ke doktor hidung, telinga dan mulut, malah pakar neurologi, psikiatri dan lain-lain bagi menangani isu mengantuk luar biasa berkenaan,” katanya.

Merujuk pada mengantuk yang biasa dihadapi pesakit diabetes, gejala itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.

Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.

Sambil menerangkan gejala mengantuk yang biasa dialami pesakitnya, Dr Kusyairi berkata, untuk kes yang dirujuk kepadanya biasanya pesakit mengadu mengalami masalah mengantuk luar biasa akibat gangguan tidur atau hidung tersumbat.

“Biasanya saya menerima pesakit yang menghadapi gejala tidur terganggu termasuklah rasa tercekik, lemas, kerap bangun untuk kencing dan berdengkur sehingga menjejaskan kualiti tidur.

“Tidak dinafikan dilema ini sering dihadapi mereka yang bekerja syif dan selalu terbang ke luar negara selain tidak mengamalkan hidup sihat termasuk masalah obesiti,” katanya.

Kata Dr Kusyairi lagi, faktor gangguan lain iaitu kesihatan mental dan emosi juga memungkinkan seseorang itu menghadapi masalah mengantuk luar biasa.

“Ada kajian perubatan menerangkan mereka yang mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil untuk satu tempoh yang panjang boleh menjejaskan kualiti tidur, seterusnya mencetuskan gejala mengantuk.

“Dalam keadaan normal, individu yang tidak cukup tidur, penat dengan aktiviti seharian selain berasa sedih disebabkan peristiwa tertentu boleh merangsang badan bertindak balas dan menyebabkan mengantuk apatah lagi mereka yang mengalami gangguan mental.

“Paling penting yang berkait dengan gangguan neuron teruk termasuk sawan ketika tidur dan sebagainya. Ini menjadikan gejala mengantuk yang berlaku perlu dirujuk kepada psikiatrik mahupun neurologi,” katanya.

Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.

Melihat pada punca penyakit terutama individu mempunyai masalah obesiti, sebaik atur gaya hidup mereka termasuk pengambilan makanan seimbang iaitu sayur dan buah-buahan yang dapat membekalkan vitamin dan zat mencukupi.

“Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.

“Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga. Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat,” katanya.

Elak juga pengambilan kafein yang membuat pesakit berjaga sehingga jauh malam, sebaik-baiknya pengambilan air kosong atau teh hijau boleh membantu mereka menikmati tidur malam lebih baik.

Selain itu, amalkan aktiviti bersenam, individu yang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang hari boleh amalkan tidur sekejap sekitar 15 hingga 30 minit ketika tengah hari.

Jika di pejabat, gunakan waktu makan tengah hari untuk melelapkan mata seketika. Ini membolehkan mereka ‘mengecas’ kembali tenaga untuk meneruskan tugasan. Namun, jangan tidur selepas waktu Asar kerana anda akan berasa lebih letih dan tidak bertenaga.

Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk selain diabetes dan masalah psikiatri ialah;

Anemia

Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.

Penyakit jantung

Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.

Hipertensi

Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.

Hiperkalsemia

Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan. Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 - 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.

Hipotiroidisme

Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.

Hiponatremia

Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.

4/12/18

TAHUKAH ANDA BAYI PALING MUDAH DIJANGKITI DEMAM VIRUS


Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.

10/08/18

AMALAN GAYA HIDUP BERSIH MAMPU CEGAH PENULARAN VIRUS HFMD


Penyakit tangan, kaki dan mulut juga dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah penyakit yang sering berjangkit dalam kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan enterovirus. Ia merebak melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan objek atau alatan permainan yang tercemar dengan virus ini.

Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja terutama kanak-kanak bawah umur lima tahun. Jangkitan ini biasanya disebabkan amalan kebersihan diri kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran sesak yang mungkin meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini. Virus mudah merebak terutama pada awal minggu pertama jangkitan.

Taska adalah tempat yang sering berlaku penyebaran penyakit HFMD. Aktiviti harian seperti sukaneka dan kerja berkumpulan menyebabkan mereka bergaul rapat dan mudah dijangkiti.

Simptom

Individu yang dijangkiti penyakit HFMD biasanya akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, ruam melepuh pada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah. Kanak-kanak juga mungkin mengalami muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

Kebanyakan kejadian penyakit ini tidak serius. Namun, ada sesetengah kes membabitkan komplikasi teruk seperti masalah sistem saraf dan jantung. Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya timbul sebarang tanda dan gejala penyakit HFMD pada kanak-kanak agar rawatan yang sesuai dapat diberi.

Rawatan

Penyakit HFMD biasanya sembuh tanpa rawatan menggunakan ubat-ubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Bagaimanapun, ada keadaan jangkitan yang menyebabkan komplikasi teruk dan memerlukan rawatan intensif.

Ada juga kes kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit HFMD, namun ia jarang berlaku.

Tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD. Bagaimanapun, rawatan untuk melegakan simptom boleh diberikan kepada pesakit. Ubat demam seperti Paracetamol boleh diberikan bagi mengurangkan suhu badan dan sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai simptom sakit-sakit badan dan sebagainya.

Selain itu, gel mulut juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedih yang disebabkan oleh kewujudan ulser di bahagian dalam mulut. Ruam di bahagian tapak tangan dan kaki lazimnya tidak gatal dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Seterusnya, pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya bagi mengelakkan gejala dehidrasi berlaku.

Pencegahan

Pada masa kini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan HFMD. Bagaimanapun, kita boleh mengawal penyebaran virus ini dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan penjaga seharusnya meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan betul guna air dan sabun sebelum menyentuh anak-anak, sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis anak. Ini adalah penting bagi mengelak penyebaran penyakit HFMD.

Bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti menyebarkan penyakit ini, ibu bapa dan penjaga kepada pesakit HFMD dinasihatkan untuk elakkan daripada membawa pesakit HFMD ke tempat awam agar penyakit ini tidak merebak.

Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan untuk membawa anak yang disyaki menghidap jangkitan HFMD berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Penting untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dan tidak langsung pesakit HFMD dan orang lain.

Anak juga harus diajar untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan apabila bersin dan batuk. Tingkatkan kawalan disinfeksi dengan mencuci alat permainan anak dengan agen pembasmi kuman serta elakkan perkongsian peralatan peribadi seperti tuala, sudu dan sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Media massa

Media massa memainkan peranan penting untuk menyebarkan maklumat yang betul dan menanam kefahaman berkaitan pencegahan penyakit HFMD. Ini secara tidak langsung memberikan pendidikan kesihatan kepada ibu bapa dan masyarakat bagi menangani penularan penyakit ini.

Kesimpulannya, walaupun kadar penularan penyakit HFMD adalah tinggi, ia masih boleh dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan. Segera bawa anak berjumpa doktor jika mempunyai simptom HFMD dan lakukan langkah pencegahan supaya penyakit ini tidak merebak. Kebersihan langkah utama mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1 800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.