23/01/17

AMBIL BERAT TENTANG SERANGAN SAWAN TERMENUNG PADA KANAK-KANAK


Sekiranya seorang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tiba-tiba didapati mengelamun, janganlah dimarahi kerana dianggap tidak memberi perhatian, sebaliknya periksa keadaannya kerana berkemungkinan mereka diserang sawan termenung.

Sawan jenis ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa dan ia terjadi secara tiba-tiba serta tanpa sebarang tanda amaran. Lazimnya, orang akan mengaitkan epilepsi dengan sawan tarik seperti menggelupur, kejang dan mulut berbuih.

Namun, simptom sawan termenung tidak seperti sawan tarik sebaliknya ia terjadi tanpa disedari kerana tanda-tandanya seperti orang mengelamun dengan pandangan kosong dan kaku selama kurang 15 saat dan boleh berlaku beberapa kali dalam sehari.

Disebabkan itu, ramai yang menyalah anggap kanak-kanak dengan sawan jenis ini sebagai nakal dan tidak memberi perhatian terutama ketika berada di dalam kelas.

Menurut Perunding Pakar Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Lim Kheng Seang, epilepsi adalah aktiviti elektrik yang tidak normal di dalam otak apabila ia boleh membabitkan pergerakan atau sentakan anggota tubuh badan dan keadaan ini juga disebut sebagai sawan.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan sawan seperti ketumbuhan dan strok, tetapi segelintir masyarakat menganggap sawan disebabkan keletihan, tidak cukup tidur, kekurangan gula atau garam dalam badan. Malah, ada segelintir penghidap disebabkan keturunan dalam sesebuah keluarga yang mendapat sawan.

“Ada banyak jenis sawan, tetapi secara umum sawan dibahagikan kepada setempat dan menyeluruh. Sawan setempat (focal seizure) atau sawan separa bermaksud sawan di satu bahagian otak, sama ada kiri atau kanan, manakala sawan keseluruhan (generalized seizure) bermaksud sawan yang berlaku pada kedua-dua bahagian otak kiri dan kanan secara serentak.

“Sawan setempat ada kala menyerang dengan sentakan membabitkan sebelah bahagian seperti sentakan pada tangan atau kaki di sebelah kanan. Terdapat segelintir penghidap sawan mempunyai perlakuan yang tidak normal apabila mereka berhenti bercakap untuk sementara (oral automatism), kebingungan (blank stare) dan kadang-kadang mengetap bibir.

“Ada juga penghidap mengalami sensasi pelik sebelum mendapat sawan seperti merasa takut, dejavu ataupun berasakan sesuatu yang sensasi, gastrik yang tidak normal dan ini kita panggil sebagai aura,” katanya.

Berlainan pula dengan sawan keseluruhan, Dr Lim berkata, ia berlaku di kedua-dua belah otak pada masa yang sama menyebabkan pesakit jatuh, sentakan pada tangan dan kaki, mata mereka akan ke atas, kadangkala mereka menggigit lidah dan terkencing.

“Tetapi ada juga sawan keseluruhan yang ringan sebagai contoh kanak-kanak yang termenung (absence generalized seizure) dan guru menganggap mereka kurang memberi perhatian dalam kelas ataupun segelintir mereka mendapat sentakan pada waktu pagi dan kadangkala tidak. Ini dipanggil sentakan otot, manakala kebingungan itu dipanggil petit-ma,” katanya.

Katanya, bagi mencari punca sawan di bahagian otak sama ada dari bahagian kiri atau kanan atau kedua-duanya, elektroensefalogram (EEG) sangat penting.

“EEG adalah ujian gelombang otak apabila elektrod akan dilekatkan di kepala untuk merakam gelombang elektrik otak. Dari situ gelombang otak yang tidak normal akan dapat dikesan sekali gus lokasi sawan tercetus dapat dikenal pasti.

“Ujian lain seperti ujian darah, imbasan otak akan digunakan untuk mengetahui keadaan asas pesakit yang menyebabkan sawan,” katanya.

Dr Lim berkata, terdapat kaedah tertentu bagi menangani penghidap yang diserang sawan sama ada di rumah, tempat kerja atau kawasan awam.

“Apabila seseorang mendapat serangan sawan di depan anda, perkara pertama ialah membaringkan penghidap di tempat rata. Pastikan tiada apa-apa di sekeliling yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kerusi atau meja.

“Jangan sekali-kali meletak sebarang objek ke dalam mulut pesakit kerana ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih serius. Mengelak lidah tergigit tidak akan membantu kerana menggigit lidah adalah tidak bahaya dan tidak menyebabkan kematian.

“Sebaik sawan berakhir, anda boleh mengiringkan penghidap menghadap ke tepi supaya air liur dapat keluar dan mereka boleh sedar semula pada bila-bila masa. Sebaik mereka sedar bermakna sawan sudahpun berhenti. Kebiasaannya, sawan akan berlangsung dalam tempoh kurang lima minit.

Beliau berkata, setakat ini, daripada 10 pesakit yang mengambil ubat sawan dianggarkan enam hingga tujuh orang daripadanya mampu mengawal sawan mereka.

Perunding Pakar Bedah Neuro PPUM, Profesor Bersekutu Dr Vairavan Narayanan berkata, kira-kira 80 peratus daripada pesakit sawan dapat dirawat atau dikawal dengan ubat, manakala bakinya tidak boleh diubati dengan ubatan.

Sebaliknya, penghidap terbabit memerlukan rawatan lanjut dan kira-kira separuh daripada mereka perlu menjalani pembedahan epilepsi.

“Namun, pembedahan epilepsi hanya akan dijalankan terhadap penghidap yang mempunyai kecederaan struktur otak. Pengimejan resonan magnetik (MRI) akan menunjukkan kecederaan dan EEG akan menandakan lokasi gelombang elektrik sawan pada otak.

“Pembedahan epilepsi akan mengeluarkan bahagian otak yang tidak normal. Ini seterusnya melenyapkan sebarang aktiviti elektrik otak yang tidak normal. Ini antara kaedah penyelesaian jangka panjang, berbeza dengan ubatan yang perlu diambil berterusan setiap hari.

“Mengenai kebimbangan adakah pembedahan epilepsi ini bahaya, kita perlu bandingkan antara risiko dan kelebihan pembedahan ini. Pembedahan ini akan menghalang atau mengurangkan epilepsi jangka panjang, di samping membawa lebih banyak manfaat daripada risiko jika dibuat perbandingan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Neurologi PPUM, Dr Sherrini Bazir Ahmad berkata penghidap sawan perlu menjalani pemeriksaan dan beberapa ujian untuk menilai sama ada mereka sesuai menjalani pembedahan.

“Pertama sekali pesakit yang mempunyai sawan pernah mengambil dua atau lebih jenis ubatan dengan dos yang maksimum dan disahkan oleh doktor pakar. Semua pesakit perlu menjalani beberapa imbasan seperti MRI yang menjadi satu imbasan penting dalam imbasan neurologi bagi melihat sebarang kecederaan dalam otak.

“Penghidap juga perlu mendaftar masuk di wad neurologi dan menjalani tiga hari ujian video EEG yang diperlukan bagi mengenal pasti jenis sawan serta bahagian otak yang terbabit. Selain itu, imbasan pemancaran foton tunggal tomografi berkomputer (SPECT) atau tomografi pancaran positron (PET) juga akan dijalankan dan ini akan dibincangkan lebih lanjut oleh pakar neurologi.”

Beliau berkata, selepas semua langkah dijalankan, satu perbincangan khas akan dijalankan bersama pakar neurologi, radiologi, juruteknologi dan pakar bedah akan duduk bersama membincangkan kes penghidap sawan. Ini bagi mencapai kata putus mengenai kaedah rawatan mana yang terbaik untuk mereka jalankan.

3/01/17

BAHAYA DEGUPAN JANTUNG TAK SEKATA


MASLAN (bukan nama sebenar) baru berusia 38 tahun dan dia mendapatkan rawatan di hospital kali pertama disebabkan berasa pening. Pada masa sama, denyutan jantungnya juga deras dengan nadinya 190 per minit dan tekanan darahnya juga rendah biarpun pelbagai kaedah sudah dilakukan.

Akhirnya, dia dirujuk kepada doktor pakar dan doktor mengambil keputusan untuk melakukan ujian elektrofisiologi (EP).

Doktor mendapati terdapat lebihan wayar ‘saluran konduksi’ pada bahagian kiri jantung sejak dia dilahirkan dan mengenal pasti rawatan sesuai bagi mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh singkat.

Itu antara kes degupan jantung tidak normal yang berlaku secara tiba-tiba kepada pesakit yang sihat, tidak merokok dan pada usia muda, namun peminum kopi yang tegar.

Secara ringkasnya, degupan jantung dikawal perentak jantung semula jadi atau ‘bateri besar’ dinamakan nod sinus (SA) yang terletak pada atrium kanan di bahagian atas jantung.

Nod sinus ini menghasilkan impuls elektrik yang mencetuskan setiap degupan. Impuls elektrik dari nod sinus bergerak merentasi atrium menyebabkan otot atrium menguncup untuk mengepam darah ke dalam ventrikel.

Impuls elektrik itu kemudian tiba di kelompok sel dinamakan nod atrioventrikel (AV) atau dianggap sebagai ‘bateri sokongan’ yang juga laluan tunggal untuk isyarat bergerak dari atrium ke ventrikel di bahagian bawah jantung.

Nod AV memperlahankan isyarat elektrik sebelum menghantarnya ke ventrikel dan kelewatan itu membolehkan ventrikel diisi dengan darah.

Otot ventrikel yang menerima impuls elektrik kemudian mengecut dan mengepam darah ke paru-paru dan bahagian lain tubuh.

Bagaimanapun, jika penjagaan jantung diabaikan dengan tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, pemakanan dan mengawal tekanan, ia boleh menyebabkan jantung berpenyakit.

Menurut Perunding Kardiologi Intervensi Pusat Perubatan Tropicana Dr Choy Chun Ngok, mana-mana bahagian sama ada di bateri atau wayar boleh mengalami kerosakan.

“Kerosakan itu boleh menyebabkan bateri menjadi lemah, jantung berdenyut terlalu lambat atau terlalu cepat.

“Biasanya, denyutan jantung normal berlaku antara 60 hingga 100 denyutan per minit. Kadar ini dijanakan oleh sel jantung tersendiri yang digelar perentak jantung (pacemaker).

“Kadar denyutan jantung akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan badan seseorang. Misalnya, individu itu mempunyai nadi 120 hingga 130 denyutan per minit apabila berlari, tetapi hanya 50 hingga 60 denyutan per minit ketika tidur.

“Sekiranya kadar denyutan jantung tidak berubah mengikut keperluan badan, itulah yang dikatakan sebagai tidak stabil atau normal,” katanya.

Ujarnya, terdapat pelbagai penyebab rentak degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu denyutan jantung terlalu lambat, terlalu pantas ataupun tidak seragam.

Namun, kebanyakannya berpunca daripada masalah serangan jantung ataupun kerosakan sel perentak jantung apabila usia tua. Ini ditambah pula dengan adanya faktor lain seperti kencing manis dan darah tinggi yang mendorong masalah berkenaan.

Ada pula sesetengah kumpulan pesakit yang dilahirkan dengan keadaan sedemikian. Contohnya, secara kongenital mengalami nadi yang terlalu lambat atau terlalu cepat.

Mengesan degupan tidak normal

“Ujian elektrofisiologi (EP) antara cara yang boleh dijalankan untuk mengesahkan masalah degupan jantung berkenaan. Ia adalah cara invasif untuk melihat rentak degupan jantung.

“EP memeriksa aktiviti elektrik jantung bagi mengesan punca gangguan rentak itu dengan menggunakan kateter yang dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah dari celah urat paha.

“Hasil daripada ujian EP juga membantu doktor memilih rawatan yang terbaik untuk pesakit sama ada menggunakan ubatan, perentak jantung (pacemaker) atau alat peranti lain dan pembedahan,” katanya.

Sekiranya jantung mempunyai masalah bateri dan denyutan yang lemah atau wayar mengalami kerosakan, alat elektronik digunakan sebagai perentak (pacemaker) bagi menggantikan penjanaan elektrik yang hilang atau rosak.

Selain pacemaker, ada kaedah lain digunakan bergantung kepada keadaan pesakit. Ini terutamanya digunakan kepada pesakit yang mempunyai masalah degupan jantung terlampau cepat dan bahaya digelar Ventrikular Fibrilasi (VF).

Kaedah implan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD), seakan-akan pacemaker berfungsi membantu mengesan ritma degupan jantung yang laju dan berbahaya secara automatik untuk mengembalikan ritma yang normal.

Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) pula akan digunakan jika jantung menjadi lemah atau bengkak dan pesakit berasa terlalu penat hingga tidak mampu untuk melakukan apa-apa aktiviti.

CRTD ialah kaedah rawatan dengan memasukkan wayar di bahagian kiri serta kanan jantung dan menyerentakkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma yang normal.

Jelasnya, jantung individu dewasa yang sihat berdegup antara 60 hingga 100 kali seminit ketika rehat atau bergantung kepada aktiviti yang dilakukan.

Namun, jika kadar degupan jantung melebihi 150 kali seminit secara tiba-tiba atau disebut ‘litar pintas’, ia bukan sesuatu perkara yang normal dan tidak harus dipandang ringan.

Disebabkan kadar degupan jantung dikawal oleh isyarat elektrik yang dihantar ke dalam tisu jantung, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila ketidaknormalan pada jantung menghasilkan isyarat elektrik yang cepat.

“Ini selalunya desebabkan oleh wayar ‘laluan konduksi’ yang berlebihan dalam jantung. Apabila ia berlaku, bahagian yang mengalami ‘litar pintas’ itu akan dikenal pasti dan kaedah ablasi akan dilakukan.

“Ablasi ialah proses menggunakan tenaga haba untuk menyentuh bahagian wayar berlebihan bagi merosakkan sel yang tidak sepatutnya ada di bahagian jantung untuk memastikan degupannya kembali normal,” katanya.

Gejala biasa

Apabila individu mengalami gejala seperti di bawah, segera berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sesuai dengan segera.

Warga emas berusia 60 ke atas atau individu berisiko seperti pesakit darah tinggi, kencing manis dan pernah mengalami masalah serangan jantung berisiko mengalami masalah berkenaan.

Pada masa sama, individu yang mengalami masalah Supraventrikular Takikardia (SVT) atau masalah pacemaker sejak lahir juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika ada gejala yang dinyatakan di bawah.

Jika terlewat ia boleh membawa kematian apatah lagi jika denyutan jantung terhenti. Denyutan jantung yang terhenti dalam tempoh enam saat sudah cukup meningkatkan risiko pengsan dan juga kematian.

Antara gejala yang perlu diambil perhatian:

1. Pening atau pengsan. Ia selalunya disebabkan degupan jantung terlalu lambat atau cepat.

Degupan jantung yang cepat juga boleh menyebabkan pesakit pengsan kerana bekalan darah yang dipam tidak mencukupi sekali gus menurunkan paras tekanan darah, pening dan pengsan.

2. Berdebar-debar (palpitation) iaitu peningkatan kadar denyutan jantung. Perkara normal jika jantung berdegup pantas apabila terjaga daripada tidur secara tiba-tiba, marah ataupun terperanjat.

Namun, jika sedang menonton televisyen, berehat ataupun ketika makan, kadar degupan jantung menjadi cepat secara tiba-tiba, mungkin ada perkara tidak normal.

Pencetus keadaan ini juga boleh disebabkan pengambilan minuman kafein berlebihan seperti kopi dan teh terutama dalam kalangan pesakit SVT.

3. Sakit dada.

4. Penat dan nafas menjadi pendek. Nafas boleh menjadi pendek disebabkan jantung lemah, bengkak, injap bocor dan sebagainya.

2/01/17

6 KAEDAH MERAWAT DEMAM DI RUMAH DAN CARA MENCEGAHNYA


DEMAM ialah sebahagian daripada pertahanan badan terhadap jangkitan dan memberi tanda ada sesuatu luar biasa sedang berlaku dalam badan.

Demam memainkan peranan penting dalam membantu badan melawan beberapa jangkitan. Walaupun demam bukan penyakit, jika melebihi suhu 40 darjah Celsius (104 darjah Fahrenheit), ia boleh menjadi sangat berbahaya.

Untuk kanak-kanak kecil dan bayi, suhu yang sedikit tinggi mungkin menunjukkan jangkitan yang serius, tetapi tahap demam tidak semestinya menunjukkan betapa serius keadaannya secara umum.

Satu penyakit ringan boleh menyebabkan demam yang tinggi dan penyakit yang lebih serius boleh menyebabkan demam yang rendah.

Biasanya demam akan hilang dalam masa beberapa hari. Beberapa jenis ubat boleh merendahkan suhu demam, tetapi ada kalanya ia menjadi sebaliknya.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan demam, tidak ada pilihan selain turut merawatnya di rumah. Berikut beberapa cara untuk melakukan rawatan tambahan di rumah.

1. Mandi

Jika ingin merawat demam anda, rendamkan diri dalam tab mandi yang penuh dengan air sejuk. Air itu akan membantu menyejukkan kulit serta dapat menurunkan suhu badan.

2. Lapkan badan

Jika tidak mahu mandi, anda boleh menggunakan tuala lembap. Rendamkan tuala kecil dalam air sejuk dan sapukan ke seluruh badan atau letak kain di dahi untuk mengurangkan ketidakselesaan akibat demam.

3. Menurunkan suhu bilik

Mengurangkan suhu bilik mungkin boleh membuatkan anda berasa lebih selesa dan membantu untuk menurunkan suhu badan.

4. Keluarkan lapisan pakaian

Gabungan lapisan pakaian dan selimut memerangkap haba, menjadikan demam bertahan lebih lama daripada biasa. Pakai hanya beberapa lapisan pakaian. Hanya gunakan selimut untuk tempoh seram sejuk.

5. Dapatkan banyak rehat

Badan anda memerangi penyakit dan memerlukan banyak tenaga untuk pulih dengan sendirinya. Bagi mengembalikan kesihatan badan, sebaiknya hadkan aktiviti dan berehat sebanyak mungkin.

6. Kekal terhidrat

Badan memerlukan banyak cecair untuk melawan penyakit di dalam badan terutama jika sedang berpuasa. Bagi memenuhi keperluan cecair dalam badan, minum air dengan kerap sepanjang hari.

Pencegahan

Demam mungkin boleh dicegah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga. Antaranya:

1. Cara terbaik untuk mencegah demam adalah mengurangkan pendedahan kepada penyakit berjangkit.

Salah satu cara yang paling berkesan dan mudah untuk melakukannya adalah kerap mencuci tangan dengan bersih. Cuci tangan dengan sabun berbanding hanya air saja sebaik bangun tidur atau sebelum dan selepas menggunakan tandas atau makan.

2. Mengajar anak membasuh tangan mereka dengan kerap terutama sebelum makan, selepas menggunakan tandas, selepas menghabiskan masa di khalayak ramai atau bermain di luar rumah.

3. Menunjukkan kepada anak kaedah betul membasuh tangan di seluruh tapak dan belakang tapak tangan serta celah jari menggunakan sabun sebelum dilap dengan tuala atau tisu bersih.