26/07/16

IMR TETAP BERWASPADA DAN TERUSKAN KAJIAN MENGENAI KUMAN DIFTERIA


Kementerian Kesihatan menjangkakan tiada paten baharu bagi penyakit Difteria di negara ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Namun, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, langkah berjaga-jaga masih diambil dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ditugaskan untuk menjalankan kajian mengenai perkara itu.

"Belum ada pengesahan terdapat jenis (strain) baharu (Difteria), kalau kita lihat profail difteria dalam tempoh 10 tahun ini, tahun 2012 merekodkan kes tertinggi sebanyak 11 kes dan selepas itu hanya ada dua atau tiga kes sahaja.

"Hanya tahun ini, 24 kes direkodkan dan peningkatan ini yang tertinggi pernah kita alami sejak Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) diperkenalkan pada awal 1950-an. IMR membuat kajian sejak awal tahun ini dan pada pandangan kita mungkin tidak wujud jenis baharu tapi kita tetap kaji sebagai langkah berhati-hati," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) tapak binaan dan majlis menandatangani dokumen kolaborasi antara Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya yang kemudian menyaksikan dokumen kolaborasi ditandatangani oleh ketiga-tiga agensi tersebut.

Lokman Hakim berkata, IMR yang ditugaskan membuat kajian berkenaan telah mengambil sampel kuman yang kemudian dibiakkan semula bagi memastikan sekiranya wujud paten perubahan baharu bagi penyakit itu.

"Kita telah mengambil sampel dan ia akan dibiakkan semula dalam makmal untuk melihat profailnya serta genetiknya sama ada masih sama atau tidak.

"Proses ini mengambil masa lama mungkin dalam tempoh tiga ke empat minggu baru boleh nampak. Laporan penuh bagi kajian ini akan diumumkan menteri nanti," katanya.

Sementara itu, mengenai program COMBI di tapak binaan, Hilmi berkata, kerjasama tiga agensi berkenaan berupaya mengekang peningkatan kes denggi di tapak pembinaan dan kawasan sekitarnya.

"Tapak pembinaan telah dikenal pasti sebagai medan aktif pembiakan nyamuk Aedes dan adanya program ini kita mampu memantau dan mengesan jejentik Aedes ketika menjalankan pemeriksaan rutin di kawasan tapak pembinaan.

"Setakat ini sudah 125 tapak pembinaan diperiksa di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dan 52 daripadanya telah dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan," katanya.

Dalam pada itu, Hilmi berkata, sejumlah 61,534 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 16 Julai lepas, penurunan 3,771 berbanding 65,305 kes bagi tempoh sama di seluruh negara pada tahun lepas.

"Sewaktu El-Nino iaitu keadaan kering, kes denggi menurun, namun sekarang telah naik balik..minggu lepas kita rekod sebanyak kes 2,200 kes denggi seminggu untuk seluruh Malaysia," katanya.

22/07/16

DIAGNOSIS SEGERA JIKA BUASIR ATAU SEMBELIT ANDA BERTERUSAN


Meskipun beribu rakyat Malaysia tidak menyedarinya, mereka sebenarnya mempunyai persamaan dengan beberapa pelakon terkenal Hollywood, seperti George Clooney dan mendiang Marilyn Monroe, iaitu mengalami ketidakselesaan pada hemoroid.

Ketidakselesaan pada hemoroid atau bahasa mudahnya, buasir, merupakan masalah biasa masyarakat moden kini.

Keadaan ini berlaku kepada orang yang kerap mengalami keadaan sembelit atau kesusahan membuang air besar.

Buasir merupakan komponen normal dalam anatomi manusia, iaitu kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar dan akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis atau cecair.

Menurut Pakar Bedah Am, Hospital Pantai Kelang, Dr. Lam Yeaw Fah, masalah timbul apabila kusyen vaskular menjadi bengkak akibat tekanan yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.

Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.

Terdapat dua jenis buasir, iaitu buasir dalaman yang berlaku pada saluran dubur, manakala buasir luaran boleh dilihat dan dirasai.

“Ironinya, gejala buasir seringkali berlaku apabila pesakit pulang dari bercuti kerana ketika tempoh itu mereka lazimnya mengabaikan pengambilan serat dan air putih yang mencukupi dalam diet makanan.

“Mereka juga mengambil peluang tersebut untuk mencuba pelbagai jenis makanan di negara orang.

“Pada amnya, seseorang yang mengalami buasir buat pertama kali akan berasa takut dan panik apabila melihat najis berdarah atau kadangkala darah menitik dalam mangkuk tanda. Proses membuang air besar akan menjadi tidak selesa dan mengerikan kerana menyebabkan rasa sakit,” katanya.

Dr. Yeaw Fah berkata, buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina.

Ujarnya, simptom utama buasir adalah bengkak dan berlaku pendarahan dari dubur ketika membuang air besar. Jika simptom berpanjangan, boleh menyebabkan rasa sakit, berlaku pengeluaran lendir dan kecacatan kosmetik.

Faktor yang menyebabkan buasir masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini berpunca daripada sembelit berpanjangan, meneran ketika membuang air besar, peningkatan tekanan intra-abdomen yang disebabkan oleh kehamilan dan batuk kronik.

“Meskipun ramai pesakit yang menghidapnya, masalah ini boleh dirawat dengan adanya pelbagai pilihan rawatan yang berkesan. Bergantung kepada tahap keseriusan buasir mereka, dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat tanpa perlu dimasukkan ke hospital,” katanya.

Ujar Dr. Yeaw Fah, sebelum rawatan dimulakan, doktor terlebih dahulu perlu mengambil sejarah gejala pesakit, tempoh buasir dan apa-apa sahaja yang mungkin mempunyai kaitan dengan penyakit ini.

Pesakit kemudian diperiksa secara klinikal, bermula dengan pemeriksaan rektum digital, diikuti oleh proktoskopi untuk mengesahkan adanya masalah buasir.

“Memilih rawatan yang betul bergantung kepada keadaan penyakit. Bagi kes-kes yang lebih ringan, seperti pendarahan rektum, pesakit mungkin dinasihatkan untuk mengambil pelembut najis dan julap, di samping meningkatkan jumlah serat dalam diet mereka dan mengelakkan meneran terlalu banyak semasa buang air besar.

“Bagi pesakit yang memerlukan prosedur ligation iaitu dengan mengikat band getah pada buasir, mereka boleh terus pulang ke rumah selepas menjalani rawatan. Pilihan rawatan lain adalah terapi sclero, iaitu suntikan penyelesaian khas yang akan mengurangkan saiz buasir,” ujarnya.

Namun demikian jelasnya, bagi kes yang serius iaitu hemoroid tahap dua, tiga, dan empat, prosedur pembedahan merupakan pilihan terbaik buat pesakit.

“Sudah tentu pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan prosedur yang dijalankan menggunakan bius, namun ternyata prosedur ini lebih berkesan dan potensi untuk penyakit berulang kembali adalah kurang,” kata Dr. Lam.

Bagaimanapun, Dr. Lam mengingatkan bukan semuanya kes pendarahan ketika membuang air besar adalah disebabkan buasir kerana tanda-tanda yang berlaku mungkin disebabkan oleh penyakit yang lain seperti kanser dubur atau kanser rektum.

“Disarankan, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar bukan dengan melakukan diagnosis dan rawatan sendiri yang hanya mengakibatkan masalah yang lebih besar,” ujarnya.

21/07/16

RAWATAN ULSER KANAK-KANAK



Ulser pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh jangkitan-jangkitan virus. Kadang-kadang ada juga ruam atau blisters pada tangan dan kaki seperti penyakit tangan , kaki dan mulut. Ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan yang dipanggil oral trush atau oral candidiasis. Jangkitan ini disebabkan oleh kulat yang kebiasaanya berpunca daripada kesan susu yang mendap pada mulut.

     Ulser juga boleh bermula dengan trauma atau luka pada mulut yang disebabkan oleh amalan mengambil makanan yang kasar dan tajam atau luka semasa menggosok gigi. Lazimnya ulser tidak merbahaya dan boleh pulih dengan sendiri dalam beberapa hari.

    Namun yang demikian , jika kanak-kanak yang lebih kecil usianya , ia mungkin boleh menumbulkan kesakitan sehingga membuatkan si kecil menolak segala makanan dan minuman. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini berisiko untuk kurang hidrat dan menjadi semakin lemah jika ada jangkitan yang berserta dengan demam.

     Rawatannya simtomatik sahaja iaitu kurangkan kesakitan dengan gel atau sebarang semburan mulut kepada kanak-kanak yang enggan makan dan minum.Bagi yang terhidrat , mungkin perlukan IV drip untuk seketika.

     Kebersihan mulut amat penting terutamanya kepada si kecil yang memasukkan benda ke dalam mulut , tambahan pula jika tangannya tidak bersih. Berkumur dengan air selepas makan dan minum terutamanya susu yang diminum oleh kanak-kanak adalah satu amalan yang baik untuk dilakukan bagi mengelakkan ulser mulut.

     Jika ulser itu berlarutan lama dan sering berulang, pemeriksaan teliti harus dilakukan ke atas penyakit-penyakit lain seperti masalah kekurangan zat atau khasiat seperti asid folik dan vitamin B12. 







LAPOR SEGERA JIKA TASKA DAN TADIKA SWASTA MENGENAKAN CAJ KETERLALUAN


Ibu bapa disaran membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dikenakan bayaran keterlaluan oleh tadika swasta semasa mendaftar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Mengulas laporan akhbar tempatan terdapat tadika swasta yang mengenakan caj sehingga RM9,000 setahun untuk seorang pelajar, beliau berkata ia bagi membolehkan kementerian mengawasi dan mengambil tindakan sewajarnya kepada operator tadika terbabit.

Katanya pengusaha tadika tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan atau mengenakan bayaran yang keterlaluan kerana mereka tertakluk kepada kaedah atau mekanisme tertentu yang telah ditetapkan kementerian.

Antara kaedah penentuan kadar bayaran tadika swasta ialah faktor lokasi, jumlah pelajar dan kualiti kaedah pembelajaran yang diketengahkan serta taraf tenaga pengajar, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu merasmikan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sempena Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) berkata kementerian mengambil maklum mengenai perkara itu namun dalam kes sedemikian, keputusan menghantar anak ke tadika swasta sebenarnya ditentukan ibu bapa.

Beliau berkata modus operandi atau konsep perniagaan operator tadika swasta adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ibu bapa memilih sesebuah tadika berdasarkan lokasi dan keupayaan kewangan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata pelaksanaan aplikasi Pepatih MySekolah yang dilaksanakan di empat buah sekolah merupakan projek perintis untuk menguji keberkesanannya.

Beliau bagaimanapun berkata pelaksanaan aplikasi melalui teknologi biometrik yang membolehkan ibu bapa memantau kehadiran pelajar secara terperinci melalui aplikasi yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing itu perlu mendapat kelulusan ibu bapa sebelum dilaksanakan.

"Walaupun sekolah mungkin ada sebab tertentu untuk mereka menggunakan aplikasi ini tetapi kementerian menggariskan bahawa pengunaan inovasi itu hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada semua waris pelajar," katanya.

Sistem yang pertama seumpamanya di Malaysia itu kini dilaksanakan sejak Januari lalu di empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di Sentul, SMK Dato' Ibrahim Yaacob di Jalan Ipoh, SMK Sungai Besi dan SMK Selandar di Melaka.

17/07/16

RAMAI WANITA BIMBANG FARAJ LONGGAR SELEPAS BERSALIN


Masalah faraj longgar sering dialami wanita selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, perkara itu kurang diberi perhatian disebabkan malu atau kurang pemahaman mengenainya.

Kira-kira 48 peratus menyatakan kebimbangan terhadap masalah faraj longgar manakala 20 peratus pula membincangkan hal itu dengan doktor mereka.

Pengasas dan Pengarah Pakar Perubatan Pusat Perubatan Dr Alice, Dr Alice Prethima berkata, ketika proses kelahiran, tisu introital (pembukaan) faraj boleh menjadi terlalu regang dan menyebabkan rasa longgar.

“Akibat kerosakan tisu ini, wanita akan hilang sensasi fizikal dan mengalami ketidakpuasan seks. Ia boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seksual dan kualiti hidup mereka.

“Antara yang berisiko adalah wanita melahirkan ramai anak, wanita hamil, wanita lanjut usia,wanita yang mempunyai sejarah kecederaan lampau, kelahiran berulang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Viveve iaitu rawatan memperbaiki kelonggaran faraj pertama di Malaysia, baru-baru ini.

Viveve adalah rawatan tanpa bedah berasaskan tenaga yang memulihkan tisu serta mengetatkan faraj tanpa menggunakan anestesia. Rawatan ini hanya dilakukan kira-kira 30 minit.

Rawatan Viveve sesuai untuk wanita berusia, aktif seks terutama yang melahirkan anak melalui faraj. Ia menggunakan tenaga frekuensi radio (RF) yang dipatenkan untuk merangsang proses pembinaan semula kolagen semula jadi badan.

Tip semula jadi mengetatkan faraj

Senaman Kegel adalah senaman yang bagus untuk wanita terutama yang berkahwin dan melahirkan anak. Ramai tak tahu senaman Kegel berfungsi membantu mengatasi masalah seperti tidak boleh mengawal kencing, mengurangkan kes peranakan turun, meningkatkan aliran darah ke uterus atau vagina, meningkatkan kualiti hubungan kelamin dan menguatkan otot vagina seterusnya memudahkan proses bersalin dan mengurangkan koyak pada perinium.

Cara melakukan senaman kegel:

• Ketika membuang air kecil, buat kemutan bagi menghentikan aliran air kencing secara tiba-tiba.

• Tahan dan kira sehingga 10 saat sebelum melepaskan baki kencing seperti biasa.

• Otot pada pangkal rahim cukup kuat jika anda mampu menahan air kencing tanpa menggerakkan kaki.

• Untuk pastikan kaedah ini betul, anda boleh masukkan jari yang bersih ke dalam faraj dan cuba cengkam jari ini mengunakan faraj anda.

Cengkaman itu lazimnya terasa pada bahagian pangkal jari saja. Otot punggung, otot abdomen dan otot paha seelok-eloknya tidak dikemutkan pada waktu ini.

13/07/16

UJIAN KOLONOSKOPI MURAH, JIMAT MASA DAN MAMPU CEGAH ANDA DARI TERKENA KANSER USUS


Rahayu (bukan nama sebenar) sering mengalami sakit perut, kurang selera makan, sembelit, letih dan tinja berdarah. Namun, dia tidak pernah merujuk doktor kerana berasakan itu adalah simptom sakit perut biasa yang disebabkan salah memilih makanan dan makanan terlalu pedas.

Tanpa sedar, usianya yang menjangkau 45 tahun dengan mempunyai latar belakang ahli keluarga yang menghidap kanser menjadikan dirinya sebagai golongan yang berisiko tinggi menghidap kanser usus.

Malah, beberapa tahun lalu ibunya juga meninggal dunia akibat kanser pada usia 65 tahun. Kegagalan Rahayu memahami bagaimana kanser usus dapat dicegah sekiranya mendapat rawatan awal, menyebabkan wanita itu juga bakal berdepan dengan nasib yang sama seperti ibunya.

Itu antara fenomena yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini apabila kebanyakan mereka sering mengabaikan pemeriksaan kesihatan terutama golongan yang telah berusia.

Statistik Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira 19,000 daripada setiap 100,000 rakyat negara ini menghidap pelbagai jenis kanser dan wanita adalah golongan yang paling berisiko menghidap penyakit berkenaan, iaitu membabitkan 10,290 pesakit daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia.

Lima kanser paling kerap menyerang rakyat negara ini adalah kanser payudara sebanyak 48.5 peratus, usus (12.1 peratus), paru-paru (11.8 peratus), pangkal rahim (5.7 peratus) dan kerongkong (5.4 peratus).

Kanser usus merupakan barah atau pertumbuhan tidak normal yang berlaku pada dinding saluran usus besar. Penyakit itu terbahagi kepada dua jenis, kanser usus sporadik, iaitu 80 hingga 85 peratus kanser berlaku secara spontan, manakala kanser usus keturunan pula lima hingga 15 peratus penghidap yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit berkenaan.

Kanser usus berada di tempat kedua pembunuh utama wanita, namun hakikatnya kanser usus dapat dicegah dan dirawat jika dikesan lebih awal dengan menjalani ujian kolonoskopi 15 tahun lebih awal daripada ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan.

Menurut Perunding Perubatan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Raja Affendi Raja Ali, kanser usus tidak mempunyai tanda gejala pada peringkat awal apabila pesakit tidak akan menyedari mereka menghidap kanser usus sehingga penyakit berkenaan telah berada pada tahap yang kronik.

Jelas Dr. Raja Affendi, kebanyakan penghidap tidak akan merujuk pada doktor kerana mereka tidak berasa sebarang kesakitan atau kelainan pada tubuh mereka.

Mengikut rekod, hanya sembilan peratus penghidap di negara ini yang merujuk doktor pada peringkat awal, iaitu peringkat boleh sembuh, manakala 28 peratus lagi pesakit sedar ketika kanser pada tahap dua dan selebihnya hanya tahu ketika berada tahap yang kronik.

“Kesedaran orang ramai untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan amat penting kerana hampir 90 peratus pesakit yang dikesan pada peringkat awal berjaya sembuh dalam tempoh lima tahun selepas mendapat rawatan.

“Ini kerana, 80 peratus penghidap kanser usus adalah mereka yang mempunyai latar belakang ahli keluarga yang pernah mempunyai kanser, manakala selebihnya mereka yang dikesan melalui pemeriksaan kesihatan biasa yang dijalankan.

“Justeru, mereka yang berisiko menghidap penyakit ini sepatutnya boleh sembuh sekiranya mereka tampil menjalani ujian kolonoskopi dengan lebih awal.

“Ini boleh dilakukan apabila ada ahli keluarga yang menghidap kanser pada usia 65 tahun, jadi pesakit itu perlu jalani ujian pada usia mereka 50 tahun agar lebih cepat rawatan kita dapat diberikan,” katanya pada majlis diskusi ilmu Kanser Usus: Adakah Anda Berisiko dan Bolehkah Dicegah? anjuran Persatuan Kakitangan Akademik UKM dan Institut Keselamatan Pekerjaan UKM baru-baru ini.


Kanser usus bermula daripada polip

Menurut Dr. Raja Affendi, kanser usus berlaku apabila wujudnya polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan usus, yang berpotensi berubah menjadi prakanser (pre-cancer) terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser.

Tambah beliau, saiz polip adalah kecil iaitu satu sentimeter atau kurang, namun lama-kelamaan dalam tempoh beberapa tahun polip berubah menjadi besar dan menjadi sel kanser.

Oleh sebab saiznya terlalu kecil pada peringkat awal, lazimnya pesakit tidak menyedari kehadirannya melainkan hanya boleh dikesan melalui kaedah kolonoskopi. Walaupun tidak semua polip akan berubah menjadi kanser, doktor sering menasihatkan polip yang dikesan perlu dibuang ketika ujian itu dijalankan ke atas pesakit bagi mengurangkan risiko kanser usus.

“Tempoh polip merebak menjadi kanser tidak dapat dijangka kerana bergantung kepada tahap kesihatan pesakit dan tabiat hidup mereka. Jika mereka kurang serat, merokok, berat badan berlebihan dan diet lemak yang tinggi, maka polip mudah merebak dengan cepat dan lazimnya sekitar 10 hingga 15 tahun, malah ada yang lebih cepat daripada tempoh itu.

“Apa yang membimbangkan, polip yang merebak menjadi kanser akan menyerang bahagian organ dalaman seperti hati, paru-paru, otak dan tulang. Sebaik sahaja empat organ ini diserang adalah amat sukar untuk pesakit sembuh,” jelasnya.


Ujian kolonoskopi hanya 15 minit

Terdapat dua cara untuk mengenal pasti sama ada pesakit menghidap kanser usus, iaitu melalui ujian pengesanan darah di dalam najis (iFOBT) bagi kumpulan yang berisiko rendah dan ujian kolonoskopi bagi kumpulan berisiko sederhana dan tinggi.

Melalui iFOBT yang dilakukan secara tahunan, mampu mengesan hampir 92 peratus kanser usus yang dihidapi, selain mengurangkan kadar kematian akibat kanser sebanyak 33 peratus selepas 13 tahun.

Ujian kolonoskopi pula, hanya mengambil masa 15 hingga 45 minit, iaitu selepas pesakit diberi ubat tidur, wayar dengan kamera sepanjang satu meter serta peralatan memotong polip dimasukkan ke dalam rektum pesakit.

“Dari itu, doktor akan melihat usus menggunakan kamera khas dan terus membuang polip yang dikesan. Jangan risau, keadah ini langsung tidak menyakitkan, malah pesakit tidak akan sedar proses itu berlangsung kerana mereka dibius.

“Kos buat ujian kolonoskopi tidak mahal dan hanya memerlukan masa paling lama pun sejam sahaja. Apa yang pasti, dengan tindakan pemeriksaan awal, hakikatnya kita telah membantu diri sendiri daripada bergelar pesakit kanser, malah lebih kurang RM700 juta dapat dijimatkan setahun untuk kos perubatan dan rawatan pesakit ini,” ujarnya.

12/07/16

KEGHAIRAHAN IBU BAPA MENINDIK TELINGA BAYI PEREMPUAN MEREKA BOLEH MENGUNDANG PADAH


Semakin ramai ibu bapa ghairah menindik telinga bayi perempuan mereka hingga kini menjadi semacam satu trend.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa tanpa pengawasan sewajarnya, luka tindikan oleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan boleh menyebabkan jangkitan kuman tetanus.

"Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga.

"Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus," kata beliau kepada Bernama.

Dr Zubaidi berkata bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.

Justeru beliau mengesyorkan ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.

Katanya, menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan.

"Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.

"Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium," katanya.

Dr Zubaidi berkata, anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.

11/07/16

KEBURUKAN MELIHAT GAJET ATAU TELEFON PINTAR KETIKA DALAM SUASANA GELAP


Rasanya hampir semua orang membelek telefon pintar masing-masing di atas katil sebelum melelapkan mata. Dalam suasana gelap, membaca puluhan mesej, berita atau apa juga dalam telefon sambil baring mengiring sudah menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan.

Namun tahukah anda, ini adalah tabiat yang tidak baik kerana ia boleh menyebabkan sensasi penglihatan dan sering dianggap sebagai ‘kehilangan penglihatan sementara’ pada sebelah mata.

Doktor di United Kingdom melaporkan, kehilangan penglihatan sementara ini boleh berlaku pada individu yang suka membaca menerusi telefon pintar mereka sambil berbaring mengiring di dalam bilik gelap.

Selepas berhenti membaca dan mahu bangun untuk melakukan perkara lain, sebelah mata yang digunakan untuk merenung telefon pintar mungkin ‘tidak nampak’, kata pakar mata di Hospital Mata Moorfields di London, Dr Gordon Plant.

Menurut Dr Plant, berita baiknya, keadaan ini bersifat sementara hanya beberapa minit dan ia tidak akan menyebabkan kerosakan kekal.

Dalam satu laporan yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan New England, pada 23 Jun lalu, Dr Plant menulis, ramai orang menyangka mereka mendapat serangan strok atau masalah kesihatan lain.

“Saya melihat banyak kes sebegini. Saya mahu orang tahu mengenai perkara ini kerana ia boleh menyebabkan rasa panik dan membuatkan seseorang itu mendapatkan pemeriksaan yang tidak perlu. Selain pesakit, doktor yang ditemui juga mungkin beranggapan ia serangan iskemia sementara (TIA) berdasarkan simptom berkenaan,” katanya.

TIA ialah keadaan apabila edaran darah di otak berhenti seketika dan ia petanda penting untuk serangan strok.

Bagaimanapun kehilangan penglihatan sementara ini sebenarnya adalah satu sensasi yang terhasil apabila mata cuba membuat penyesuaian dalam keadaan gelap, kata Dr Plant.

Untuk lebih mudah faham, cuba ingat perubahan penglihatan yang dirasakan gelap seketika apabila anda keluar ke tempat terang selepas berada dalam bilik yang sangat gelap beberapa ketika.

“Ramai yang melihat telefon bimbit sambil baring mengiring di dalam bilik gelap. Jika mereka baring mengiring di sebelah kiri, mata kiri akan terlindung oleh bantal dan mereka membaca teks di telefon menggunakan mata kanan. Jadi mata kiri akan cuba mengadaptasi dengan persekitaran gelap sedangkan mata kanan pula mengadaptasi dengan cahaya dari telefon pintar,” katanya.

Jadi, apabila telefon itu dipadamkan, mereka tidak boleh melihat dengan mata yang sudah mengadaptasi dengan keadaan bercahaya dan akan mengambil masa beberapa minit untuk mata ini membuat penyesuaian dengan keadaan gelap. Bagaimanapun, ketika proses penyesuaian ini, mereka masih boleh melihat dengan mata sebelah lagi. Inilah yang membuatkan mereka menyangka mata kanan hilang penglihatan.

Kertas laporan itu menampilkan dua kes kajian - seorang wanita berusia 22 tahun yang mengalami kehilangan penglihatan berulang pada mata kanannya selama beberapa bulan dan seorang wanita berumur 40 tahun yang mengadu kehilangan penglihatan pada sebelah matanya berlarutan sehingga 15 minit.

Kedua-dua wanita berkenaan menjalani pelbagai siri ujian dan pemeriksaan termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI) dan ekokardiogram sebelum doktor boleh mengesahkan keadaan itu hanyalah penyesuaian yang dilakukan oleh mata kerana melihat di telefon bimbit dalam keadaan gelap sambil berbaring.

Menurut Dr Plant menerusi artikel yang disiarkan dalam portal HealthDay News, kesan yang dialami mata itu boleh disebabkan apa saja objek atau peralatan yang mengeluarkan cahaya terbang. Dia menambah, penyelesaian kepada perkara itu amat mudah iaitu memandang telefon bimbit dengan kedua-dua belah mata.

Dengan cara ini, kedua-dua mata akan membuat penyesuaian yang sama terhadap cahaya dan pendapat ini dipersetujui pakar mata lain.

Pakar mata di Mountain View California, Dr Rahul Khurana berkata, jika kita membaca teks di telefon pintar dengan kedua-dua belah mata, kita tidak akan mengalami keadaan ‘kehilangan penglihatan sementara’ yang menimbulkan kebimbangan kepada semua orang.

Katanya, maklumat ini akan membantu doktor supaya tidak menyarankan pesakit menjalani ujian imbasan otak atau ujian lain yang mahal. Sebaliknya, mereka boleh membuat siasatan sendiri dengan bertanya beberapa soalan kepada pesakit mengenai tabiat penggunaan telefon pintar.

“Ada banyak punca yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan sementara. Dan sering juga kita terlepas pandang pada punca yang biasa-biasa seperti adaptasi terhadap cahaya,” katanya.

4/07/16

KETAHUI APA ITU ENDEMIK HFMD DAN LANGKAH PENCEGAHANNYA


Hasil yang besar bermula daripada langkah yang kecil. Demikian juga dalam menangani penularan penyakit berjangkit berbahaya dan boleh menyebabkan maut.

Amalan mencuci tangan adalah satu langkah paling mudah yang boleh kita ambil untuk mengelakkan jangkitan penyakit menerusi penyebaran bakteria, virus dan parasit.

Ini kerana, tangan kita boleh menjadi tempat persembunyian pelbagai jenis mikroorganisma yang menjadi punca penyakit. Jangkitan merebak dari individu ke individu melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas menyentuh permukaan atau memegang peralatan yang tercemar dengan virus daripada batuk atau bersin pesakit.


Menerusi tangan, anggota badan ini cekap memindahkan bakteria dan virus berikutan selepas menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut, mikroorganisma terbabit terus sampai ke pintu masuk badan kita.

Antara penyakit yang tersebar melalui sentuhan seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Coronavirus (MERS-CoV), Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Demam Virus Influenza A (H1N1).

Sementara itu, HFMD yang kerap menyerang kanak-kanak adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun serta mempunyai aliran kitaran dengan kemuncak setiap tiga tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana, namun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan seterusnya menyebabkan kematian.

Menurutnya, pada minggu epidimeologi ke-23 bagi tahun ini bermula 5 Jun hingg 11 Jun lalu, bilangan kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,379 kes iaitu peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding minggu sebelumnya yang mencatat 1,296 kes.

“Trend peningkatan kes HFMD mula dikesan sejak minggu epidimeologi ke-17 pada 24 hingga 30 April lalu apabila 794 kes dicatatkan dan ia melepasi paras amaran yang ditetapkan berdasarkan jumlah kes HFMD pada tahun lalu iaitu 644 kes seminggu.

“Sehubungan itu, pihak kementerian sudahpun mengeluarkan surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei lalu kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya.

“Pihak kementerian sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja terhadap kejadian kes tetapi juga jenis virus yang berada dalam komuniti,” katanya.

Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi sehingga kini berbanding negeri lain iaitu 4,441 kes atau 32.6 peratus. Tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Petaling yang mencatat 1,626 kes, Hulu Langat mencatat 1,172 kes dan Klang dengan 618 kes.

Diikuti Johor dengan 1,393 kes (10.2 peratus), Kuala Lumpur mencatat 1,317 kes (9.7 peratus), Sabah mencatat 1,299 kes (9.5 peratus). Sarawak mencatat 1,108 kes (8.1 peratus), Perak mencatat 892 kes (6.5 peratus) dan Melaka dengan 727 kes (5.3 peratus)

Pulau Pinang dengan 713 kes (5.2 peratus), Negeri Sembilan mencatat 522 kes (3.8 peratus), Pahang mencatat 345 kes (2.5 peratus) dan Kedah dengan 265 kes (1.9 peratus), manakala negeri lain melaporkan kurang daripada 200 kes.

Wabak HFMD ditakrifkan apabila ada dua atau lebih kes HFMD dengan gejalanya timbul dalam tempoh dua minggu di lokaliti yang sama.

Sehingga minggu epidiologi ke-23 tahun ini, Selangor mencatatkan bilangan kejadian wabak tertinggi dengan 135 wabak berbanding negeri lain, diikuti Sarawak (116 wabak), Kuala Lumpur (58 wabak) Johor (49 wabak), Melaka (39 wabak), Perak (26 wabak) dan Negeri Sembilan (20 wabak), manakala negeri lain kurang daripada 20 wabak.

Dr Noor Hisham berkata, HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).

“Virus ini merebak secara sentuhan dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit, manakala tempoh inkubasi adalah antara tiga hingga lima hari.

“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari.

“Pesakit kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan. Jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis, tetapi ianya jarang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang 10 tahun terutama yang ditinggalkan di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska atau tadika.

“Oleh itu, pihak kementerian menasihatkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang digariskan.

“Pengusaha taska, tadika atau pusat jagaan kanak-kanak lain disarankan supaya mengambil langkah pencegahan ditetapkan. Di samping itu, saringan di pintu masuk perlu dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

“Langkah pencegahan adalah penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun ini. Pihak kementerian sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.

HFMD adalah penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengamal Perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis seperti taska, tadika atau sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

Langkah Pencegahan HFMD

1. Tidak membawa anak yang dijangkiti ke tempat awam seperti sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak yang dijangkiti.

4. Membersihkan dengan cara basmi kuman menggunakan larutan berasaskan klorin semua permainan kanak-kanak dan lantai rumah terutama tandas.

5. Memastikan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul.

6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan kanak-kanak lain yang tidak dijangkiti.

1/07/16

DIFTERIA BOLEH BAWA MAUT JIKA TIDAK TERIMA IMUNIASI LENGKAP


SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa henti, batuk dan nafas yang seolah-olah tidak lancar – seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar. Pada mulanya Puan Siti (bukan nama sebenar) menyangka keadaan itu mungkin kerana anaknya sedang demam panas biasa atau proses pembesaran.

Kegusaran Puan Siti bertambah dan terlintas persoalan di hati mungkinkah sesuatu yang lebih serius? Dia dan suami lantas segera membawa bayi mereka ke hospital pakar berdekatan.

Jika anda seorang ibu atau bapa, pasti anda akan melakukan tindakan sama seperti Puan Siti.

Setelah mendapatkan pemeriksaan doktor, anak Puan Siti didapati sakit kerongkong. Kemudian doktor bertanya kepada Puan Siti dan suaminya adakah anak mereka sudah mendapatkan imunisasi yang lengkap? Menurut doktor tersebut, anak mereka mengalami sakit kerongkong atau difteria.

Penyakit ini kembali menular apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes difteria dalam kalangan tiga beradik di Melaka dan lapan kes disyaki difteria di Kedah. Sebanyak satu kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016. 

Manakala satu kes disyaki difteria di Kedah yang kanak-kanak berumur dua tahun meninggal dunia pada 22 Jun 2016. Kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. B Kishore, difteria ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae.

Difteria merupakan penyakit lazim yang mengancam nyawa kanak-kanak kerana ia menjejaskan sistem pernafasan.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 206,000 kes difteria dengan 15,520 kematian direkodkan pada 1921 sehingga banyak keluarga membuat keputusan untuk berkurung di rumah masing-masing bagi memastikan anak mereka selamat.

Lebih membimbangkan ketika itu, penyakit ini juga merebak di Eropah sehingga mengakibatkan ribuan kematian setiap tahun. Di Barat, difteria juga digelar Malaikat Melemaskan (The Strangling Angel) disebabkan oleh pembentukan membran berwarna kelabu keputihan yang berbentuk sayap pada tonsil kanak-kanak yang menghidap penyakit ini.

Selaput ini akan memenuhi dan menyekat tekak, peti suara dan paru-paru lalu mengakibatkan mangsa sesak nafas. Vaksin melawan difteria mengurangkan kadar kematian dan morbiditi penyakit ini secara mendadak, bagaimanapun difteria masih menjadi masalah kesihatan kanak-kanak yang ketara di negara yang liputan program lanjutan imunisasi (EPI) terendah.

Di negara endemik untuk difteria, penyakit ini berlaku kebanyakannya sebagai kes sporadik atau wabak kecil. Difteria mengakibatkan kematian dalam lima hingga 10 peratus kes dengan kematian tertinggi membabitkan kanak-kanak. Rawatan pula membabitkan antitoksin difteria bagi meneutralkan kesan toksin difteria sebagaimana antibiotik membunuh bakteria.

“Difteria tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

“Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus,” katanya.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type Imunisasi diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi.

Justeru, pihak Kementerian Kesihatan sangat menekankan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan.

“Ibu bapa yang masih lagi belum membawa anak-anak mereka mengambil imunisasi hendaklah segera membawa mereka untuk mendapatkan imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap. Ini merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang,” jelasnya.

Tanda dan Gejala
*Pembebasan sitotoksin menyebabkan keradangan dan terbentuknya selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak.

*Sukar menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut, farinks dan bengkak pada kelenjar leher.

*Bagi kes yang teruk, leher menjadi bengkak dan edema.

Komplikasi
*Kelumpuhan saraf kranial, motor periferi dan deria serta miokarditis.Kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria dan radang pada jantung (miokarditis)

Rawatan khusus:
* Antitoksin diberikan serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan.
* Antibiotik tidak boleh mengantikan antitoksin.
* Eritromisin dan penisilin diberi selepas kultur diperolehi.

Pencegahan
 Semua individu yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu mendapatkan vaksin.
Jenis vaksin:
Toksoid Difteria.
Bilangan dos: 
Sekurang-kurangnya tiga, disuntik ke dalam otot.
Jadual vaksin: 
Ketika berumur dua, tiga dan lima bulan berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.
Dos tambahan: 
Ketika berumur 18 bulan dan 7 tahun.
Kontraindikasi: 
Kesan buruk terhadap dos sebelumnya.
Kesan buruk: 
Kesan ringan di tempat suntikan atau seluruh tubuh.
Sebelum berlepas: 
Dapatkan vaksin seawal mungkin.