24/03/16

KANAK-KANAK BERISIKO HADAPI SAKIT BUAH PINGGANG DAN GINJAL?


KEGAGALAN buah pinggang atau ginjal antara penyakit yang boleh berlaku pada bila-bila masa dengan setiap peringkat usia termasuk kanak-kanak berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Diklasifikasikan sebagai penyakit ‘senyap’ dan perlahan, penyakit buah pinggang boleh mengundang maut sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurut Pakar Perubatan dan Nephrologi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Philip N. Jeremiah, kegagalan buah pinggang adalah penyakit yang perlu diberikan perhatian khusus kerana sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal boleh menyebabkan pesakit ‘merana’ seumur hidup kerana terpaksa menjalani proses dialisis.

Beliau berkata, kegagalan buah pinggang bukan hanya berlaku pada orang dewasa, malah kanak-kanak turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit tersebut.

“Penyakit yang tidak mengenal jantina dan umur kerana semua individu tidak kira lelaki mahu pun perempuan, tua atau muda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.

“Oleh yang demikian setiap individu adalah dinasihatkan agar menitik beratkan kesihatan diri masing-masing dengan membuat pemeriksaan secara berkala untuk mengesan penyakit sekiranya ada.

“Dengan ini secara tidak langsung penyakit yang dihidapi akan dapat dirawat pada peringkat awal,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut dalam kalangan kanak-kanak, tutur Dr. Philip, menurut statistik di negara ini pada tahun 2013, seramai 32,000 hingga 33,000 pesakit menjalani rawatan dialisis dan daripada jumlah tersebut, 1,000 pesakit adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Katanya, kegagalan buah pinggang juga boleh berlaku kepada bayi semasa pembentukan fetus dalam kandungan dan tidak ketinggalan faktor keturunan merupakan antara punca penyakit buah pinggan ini berlaku kepada kanak-kanak.

Menyatakan bahawa 40 peratus penyebabnya tidak diketahui, Dr. Philip menjelaskan 23 peratus penghidapnya adalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang.

“Dalam kes ini, kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul.

“Ini mungkin berkaitan atau pun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing dan sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

“Namun apa yang pasti, penyebab yang diketahui hanyalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang selain ia adalah diwarisi secara turun temurun dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya lagi.

Oleh itu, ibu bapa harus lebih prihatin dengan perkembangan serta tumbesaran anak masing-masing selain mengambil tindakan cepat apabila mereka (anak) mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata atau pun kaki, kencing kotor atau berdarah, dan tidak ketinggalan mengalami tekanan darah tinggi.

Ini kerana apa yang dinyatakan tersebut merupakan tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang dan sekiranya penyakit ini menjadi semakin teruk, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pun pembedahan pemindahan buah pinggang.

Kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes, golongan ini juga perlulah berhati-hati kerana Dr. Philip memberitahu lebih daripada 10 peratus pesakit diabetes berkemungkinan menghidap masalah kegagalan buah pinggang.

Sementara itu, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan Mac, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri tidak ketinggalan akan menyambutnya pada 19 Mac ini.

Bertempat di kawasan permainan wad kanak-kanak, aras 6, orang ramai berpeluang mendengar ceramah ‘Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-Kanak’ yang akan disampaikan oleh Pakar Buah Pinggang, Datuk Dr. Zaki Morad.

Pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan selain saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.